Foto: Bernama
Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014, yang mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda dan 38 warga atau penduduk Australia.
Memetik laporan Bernama, keputusan ini diumumkan oleh kerajaan Belanda dan Australia dalam kenyataan berasingan pada 12 Mei 2025.
Kedua-dua negara tersebut memaklumkan bahawa Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang sesuai dalam beberapa minggu akan datang.
Pesawat MH17, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine ketika konflik antara pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine sedang memuncak.
Pada November 2022, mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Rusia dan seorang lelaki warga Ukraine atas kesalahan membunuh secara "in absentia" kerana peranan mereka dalam serangan tersebut.
Dalam pada itu, Moscow menyifatkan keputusan itu sebagai "skandal" dan menyatakan tidak akan mengekstradisi warganya.
Kes ini difailkan pada 2022 oleh Australia dan Belanda. Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, menyatakan bahawa keputusan ini merupakan langkah penting ke arah mencari kebenaran serta mencapai keadilan dan akauntabiliti bagi semua mangsa MH17 serta keluarga mereka.
Malah, beliau menambah bahawa keputusan ini menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.
Belanda dan Australia mahu Majlis ICAO mengarahkan Rusia supaya memulakan rundingan mengenai pampasan. Menteri Luar Australia, Penny Wong, mengalu-alukan keputusan itu dan menggesa ICAO bertindak segera dalam menentukan bentuk pampasan yang sesuai.
Beliau juga menyeru Rusia supaya mengakui tanggungjawabnya terhadap tindakan keganasan ini dan membayar pampasan atas salah laku berat yang dilakukan, seperti yang dituntut di bawah undang-undang antarabangsa.
ICAO tidak mempunyai kuasa perundangan tetapi mempunyai pengaruh moral dan menetapkan piawaian penerbangan global yang diguna pakai oleh sebahagian besar 193 negara anggotanya.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.