
Foto: X (JAWI)
Kehilangan kedua ibu bapa merupakan detik paling berat dalam hidup seorang anak. Namun, tanggungjawab terhadap mereka tidak terhenti dengan berakhirnya hayat. Dalam Islam, hubungan antara anak dan ibu bapa terus berpanjangan bukan hanya melalui kenangan, tetapi menerusi amalan, doa dan pengabdian.
Berikut adalah beberapa tanggungjawab penting yang wajib dilaksanakan oleh anak selepas pemergian ibu bapa:
1. Melangsaikan Hutang-Hutang Dengan Allah SWT
Hutang yang melibatkan Allah adalah perkara yang sangat utama. Ini termasuk puasa yang ditinggalkan, haji yang belum dilaksanakan dan nazar yang belum ditunaikan.
Sabda Rasulullah SAW:
“Hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”
(Riwayat al-Bukhari, 1953)
Sebagai contoh, jika ibu atau bapa meninggal dunia dalam keadaan masih berhutang puasa Ramadan, maka anak boleh menggantikannya atau membayar fidyah berdasarkan kemampuan.
2. Membayar Hutang Dunia Kepada Manusia
Sekiranya mereka ada berhutang kepada individu atau institusi, sedaya upaya anak perlu membantu melangsaikannya. Ini termasuk hutang wang, harta dan sebarang janji atau amanah yang belum disempurnakan.
3. Doa Anak Yang Soleh
Doa merupakan satu amalan yang tidak akan terputus walaupun selepas kematian. Rasulullah SAW bersabda bahawa salah satu daripada tiga amalan yang terus mengalir pahalanya adalah:
'Doa anak yang soleh.'
Berdoalah setiap hari untuk kesejahteraan dan keampunan ibu bapa;
“Ya Allah, ampunilah kedua ibu bapaku, kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu kecil.”
4. Menziarahi Sahabat-Sahabat Ibu Bapa
Menyambung silaturrahim dengan rakan-rakan ibu bapa adalah satu bentuk penghormatan dan kasih sayang terhadap mereka. Ia juga merupakan salah satu cara untuk mengenang jasa dan kebaikan yang mereka pernah lakukan kepada orang lain.
5. Bersedekah Atas Nama Mereka
Bersedekah dengan niat menghadiahkan pahala kepada arwah ibu bapa adalah satu amal yang sangat digalakkan. Sedekah itu boleh dalam pelbagai bentuk seperti makanan, al-Quran, pembinaan wakaf dan bantuan kepada golongan memerlukan.
6. Menunaikan Wasiat Mereka
Jika ibu bapa meninggalkan wasiat, wajib ke atas anak untuk memenuhinya selagi mana tidak bercanggah dengan syarak. Menunaikan wasiat ialah bentuk tanggungjawab dan penghormatan kepada hasrat terakhir mereka.
Tanggungjawab terhadap ibu bapa tidak berakhir di liang lahad. Ia hanya beralih bentuk daripada penjagaan fizikal kepada penjagaan spiritual dan amalan kebaikan. Bagi anak-anak yang ingin membalas jasa ibu bapa, inilah peluang untuk berbakti tanpa batas waktu.
Ingatlah, setiap doa, sedekah dan amalan soleh yang diniatkan untuk mereka akan menjadi hadiah abadi yang akan menemani mereka di alam sana. Semoga Allah SWT menerima setiap usaha kita dan merahmati roh kedua ibu bapa kita. Aamiin.
Sumber: JAWI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.