Keprihatinan Arab Saudi terhadap keselamatan dan kesihatan umat Islam seluruh dunia terbukti pada keputusan mereka yang membenarkan ibadah haji tahun ini dilaksanakan oleh warganegara dan penduduk negara lain yang berada di negara itu akibat pandemik COVID-19.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin, TH akur dengan keputusan itu dan menerima dengan hati terbuka.
“Walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, TH menerima keputusan yang telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.
“TH amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadah haji jemaah negara ini sejak dahulu,” katanya.
Tambahnya, giliran haji bagi bakal haji pada 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada 2021, kini diberi keutamaan untuk menunaikan haji pada 2022.
Giliran bakal haji pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa Kerajaan Arab Saudi.
Semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1442H/2021M ditangguhkan sepenuhnya dan rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi boleh memohon untuk menunaikan haji tahun ini melalui Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Sumber: Lembaga Tabung Haji
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.