Foto: Kosmo
Gua Hira yang terletak di puncak Jabal Nur, kira-kira 4 kilometer dari Masjidil Haram, merupakan antara tempat paling bersejarah dalam Islam. Di sinilah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama daripada Allah SWT melalui malaikat Jibril, yang menjadi titik permulaan kepada penyebaran Islam.
Namun, ramai dalam kalangan jemaah umrah dan haji masih menyalahfahami tujuan sebenar ziarah ke tempat suci ini.
Menurut Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Tabung Haji, Mohd. Bakri Aziz@Saari, tidak wujud sebarang tuntutan atau kewajipan syarak untuk menunaikan solat ketika berada di dalam Gua Hira.
Sebaliknya, kunjungan ke lokasi bersejarah ini lebih kepada menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW serta mengambil iktibar daripada detik agung penurunan wahyu pertama.
"Ramai yang beranggapan bahawa perlu bersolat atau beribadat secara khusus di dalam Gua Hira, sedangkan sebenarnya, ziarah ini seharusnya menjadi ruang untuk berfikir, bermuhasabah, dan meneladani perjalanan spiritual Baginda Nabi," ujar Mohd. Bakri.
Beliau menjelaskan bahawa Gua Hira bukanlah tempat ibadah khas yang disyariatkan seperti Masjidil Haram, tetapi sebuah lokasi yang sarat dengan simbolik dan makna mendalam terhadap permulaan kenabian.
Beliau turut berkongsi bahawa Rasulullah SAW sering menyendiri di Gua Hira selama beberapa tahun sebelum diangkat menjadi Nabi, dalam usaha mencari ketenangan jiwa dan jawapan terhadap permasalahan masyarakat Arab Quraisy yang pada ketika itu terjebak dalam amalan jahiliah.
Menurutnya, momen-momen tersebut sangat penting untuk direnungi oleh umat Islam masa kini.
“Wahyu pertama yang diterima oleh Nabi SAW, iaitu Surah Al-‘Alaq ayat 1 hingga 5, menekankan pentingnya ilmu, pembacaan, dan tadabbur terhadap alam ciptaan Allah SWT. Maka apabila kita berada di Gua Hira, sewajarnya kita mengingatkan diri tentang mesej ini untuk menjadi umat yang mencintai ilmu dan menjadikan wahyu sebagai panduan hidup,” katanya lagi.
Program mendaki Jabal Nur yang dianjurkan oleh Tabung Haji turut disertai oleh 16 petugas media termasuk 14 wartawan dari Malaysia. Mereka menempuh pendakian mencabar yang mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke puncak, sebagai sebahagian daripada usaha memahami lebih dekat sejarah Islam dan perjuangan Rasulullah SAW.
Gua Hira sendiri adalah ruang yang sempit dan hanya mampu memuatkan sekitar dua orang dewasa dalam satu masa. Walau kecil, gua ini menyimpan nilai sejarah dan spiritual yang amat besar.
Menurut Mohd. Bakri, ketika Rasulullah SAW berada di sana, Baginda sering bermunajat dan berfikir tentang keagungan ciptaan Allah SWT serta keadaan masyarakat pada zamannya.
“Inilah ketentuan dan perancangan Allah SWT yang luar biasa. Setelah bertahun-tahun Rasulullah SAW bermeditasi dan menyucikan jiwanya di sini, maka akhirnya datang wahyu yang pertama melalui Jibril.
“Ia bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi satu peringatan bahawa wahyu adalah pusat kehidupan kita sebagai Muslim,” jelasnya dengan penuh semangat.
Tambahnya lagi, lawatan ke Gua Hira harus dilihat sebagai peluang memperbaharui keimanan, mendalami erti ketekunan dan kesabaran Rasulullah, serta memahami betapa pentingnya wahyu sebagai sumber utama dalam kehidupan seharian. Ia bukan sekadar aktiviti fizikal atau simbolik, tetapi latihan rohani untuk lebih dekat dengan ajaran Islam yang sebenar.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.