Foto: Tangkap layar TikTok
Petra, sebuah tapak warisan dunia UNESCO yang juga antara tarikan pelancongan paling terkenal di Jordan, menjadi lokasi tragedi apabila banjir kilat melanda kawasan itu selepas hujan lebat yang luar biasa pada Ahad, 4 Mei 2025.
Memetik laporan Gulf News, ribuan pelawat yang berada di lokasi bersejarah tersebut terpaksa dipindahkan segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, seramai lebih 1,700 pelancong dipindahkan dari kawasan arkeologi Petra sebagai langkah berjaga-jaga selepas air mula melimpah secara mendadak ke kawasan-kawasan tumpuan utama pelawat.
Dalam pada itu, usaha pemindahan ini dijalankan oleh Pasukan Pertahanan Awam Jordan dengan kerjasama pasukan polis dan sukarelawan.
Namun, dalam insiden berasingan yang berkait dengan cuaca buruk tersebut, dua pelancong warga Belgium seorang wanita dan anak lelakinya ditemui maut selepas dihanyutkan arus deras di kawasan lembah Wadi al-Nakhil, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Petra. Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan pelancong yang sedang menjalani aktiviti pengembaraan di kawasan tersebut.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan dua lagi anak mangsa yang turut serta dalam lawatan tersebut.
Selain itu, 14 pelancong lain, dipercayai warga Republik Czech, turut diselamatkan dalam operasi yang berlangsung dalam keadaan sukar.
Bentuk muka bumi berbukit dan berbatu serta cuaca buruk menyukarkan pasukan penyelamat untuk melaksanakan operasi mereka, sehingga usaha mencari terpaksa dihentikan buat sementara pada waktu malam sebelum disambung semula awal pagi Isnin dan membawa kepada penemuan mayat kedua-dua mangsa.
Sebagai respons kepada insiden ini, pihak berkuasa Jordan telah menghentikan sementara kemasukan ke Petra serta beberapa tapak pelancongan berhampiran bagi memastikan keselamatan pelawat dan memberi ruang kepada penilaian risiko susulan cuaca tidak menentu.
Petra, yang terletak di selatan Jordan, dikenali dengan keunikan struktur batu pasir yang diukir seperti Al-Khazneh dan Biara (The Monastery).
Ia sering dikunjungi pelancong dari seluruh dunia. Namun, disebabkan lokasi geografinya yang terletak dalam kawasan lembah sempit dan berbukit, ia terdedah kepada risiko banjir kilat terutama sekali semasa musim hujan.
Insiden ini turut mengimbas kembali tragedi pada tahun 2018, apabila lebih 30 orang, kebanyakannya pelajar sekolah, terkorban akibat banjir kilat di kawasan Petra dan Laut Mati.
Pihak kerajaan Jordan telah mengeluarkan amaran cuaca serta menyeru orang ramai termasuk pelancong asing supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mematuhi semua garis panduan keselamatan yang ditetapkan.
Penilaian terhadap sistem amaran awal dan pengurusan risiko bencana di kawasan pelancongan utama juga dijangka akan diperketatkan berikutan kejadian ini.
Sumber: Gulf News
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.