Nora Al-Matrooshi merupakan wanita Arab pertama terpilih menyertai latihan untuk menjadi angkasawan daripada lebih 4,300 pemohon lain.
Wanita kelahiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini adalah seorang daripada dua warga UAE terlibat dalam sebahagian usaha negara itu untuk misi penerokaan angkasa lepas.
Malah, jurutera mekanikal itu sudah menyimpan hasrat untuk menakluk angkasa lepas sejak kecil lagi.
Biarpun, misi ke angkasa belum dijadualkan buat masa terdekat, beliau mengharapkan impian ini dapat dilaksana bagi meneruskan tradisi eksplorasi yang pernah dimulakan nenek moyangnya sebagai pelayar.
“Keluarga di sebelah ibu saya adalah pelayar. Mereka adalah penjelajah lautan. Perkataan ‘astronaut’ pula bermaksud ‘pelayar bintang’ dalam bahasa Greek.
“Kalau saya boleh buat, anda juga boleh. Jika belum ada orang yang pernah melakukannya sebelum anda, maka teruskan dan jadilah yang pertama,” katanya.
Matrooshi dan rakan senegaranya, Mohammad al-Mulla akan ke Amerika Syarikat akhir tahun ini untuk menyertai latihan di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) di Pusat Angkasa Johnson.
Walaupun bidang penerokaan angkasa masih baru untuk negara UAE tetapi ia bukanlah alasan untuk setanding bersama negara-negara lain.
Terdahulu, UAE melakar sejarah apabila berjaya menerbangkan angkasawan pertamanya dalam misi lapan hari menaiki roket Soyuz dari Kazakhstan pada September 2019.
Sumber: DW News
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.