Foto: Instagram
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun melahirkan rasa bimbang terhadap kemunculan trend terkini di media sosial dikenali sebagai ‘S-Line’, yang disifatkan sebagai fitnah akhir zaman dan satu bentuk penzaharahan dosa yang membinasakan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau mengakui terkejut apabila mendapati ramai anak muda Muslim tanpa segan silu menjatuhkan maruah dan membuka aib sendiri, hanya kerana ingin mengikuti trend viral yang diinspirasikan daripada drama Korea.
“Anak-anak Muslim kita sengaja melondehkan maruah diri di hadapan ribuan mata. Lebih menyedihkan, ada yang meniru dan menyebar tanpa rasa bersalah, seolah-olah ia hanyalah hiburan biasa,” katanya.
Mendedahkan Dosa Bukan Hiburan, Tapi Kemurkaan
Trend ‘S-Line’ tersebut melibatkan penggunaan penapis (filter) yang menunjukkan garis merah di atas kepala seseorang kononnya merujuk kepada jumlah individu yang pernah menjalinkan hubungan intim dengannya. Ustazah Asma’ menegaskan bahawa perbuatan membuka aib dan berbangga dengan dosa ini adalah haram serta dilarang keras dalam Islam.
“Trend ini kelihatan seperti gurauan ringan, tapi ia membawa kerosakan besar kepada akhlak dan maruah. Dosa bukan lagi disembunyikan, sebaliknya ditayang dan dibanggakan. Na‘uzubillahi min dzalik,” ujarnya tegas.
Beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras terhadap golongan 'al-mujahirun', iaitu mereka yang mendedahkan dosa yang Allah telah tutup.
"Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirun…” (Hadis Muttafaqun ‘alaih)
Agenda Syaitan Dalam Trend Viral
Ustazah Asma’ menyifatkan trend ini sebagai permainan halus syaitan yang memperelokkan maksiat dan menjadikan perkara keji kelihatan biasa, bahkan bergaya. Beliau turut memetik ayat al-Quran:
“Aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada mereka di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya…”
(Surah al-Hijr: 39–40)
Katanya lagi, maksiat kini dihias indah, dosa tidak lagi menggentarkan hati, dan akhirnya disebarkan sebagai bahan hiburan.
Ibu Bapa dan Guru, Perlu Bertindak
Beliau turut menyeru para ibu bapa, pendidik dan masyarakat agar tidak leka dalam membimbing anak-anak agar tidak hanyut dalam arus hiburan yang merosakkan.
“Jangan terlalu longgar memberi akses kepada dunia digital tanpa bimbingan. Nasihat dan doa kita adalah benteng utama. Teguran kecil hari ini mungkin menyelamatkan satu jiwa esok hari.”
Anak Muda, Jangan Gadaikan Maruah
Sebagai peringatan akhir, Ustazah Asma’ menyeru anak-anak muda Muslim agar tidak terpedaya dengan populariti sementara dan menukar maruah diri semata-mata mahu dilihat 'trendy'.
“Trend ini bukan hiburan. Ia adalah penzahiran dosa zina yang dimuliakan oleh syaitan dan ditertawakan oleh dunia. Jangan biarkan maruah tergadai hanya kerana satu filter.”
“Allah telah menutup aib kita dengan kasih-Nya. Maka jangan kita sendiri yang membukanya kembali. Wallahu a‘lam,” katanya mengakhiri kenyataan.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.