
Foto Hiasan
Dalam dunia moden yang sering memperkenalkan gaya hidup baharu, Islam tetap teguh dengan prinsipnya iaitu menolak segala bentuk kemudaratan dan kerosakan (mafsadah) demi menjaga kesejahteraan umat. Salah satu isu yang semakin membimbangkan kini ialah penggunaan rokok elektronik atau vape. Walaupun sering dipasarkan sebagai alternatif ‘lebih selamat’ berbanding rokok tradisional, hakikatnya vape tetap membawa ancaman kepada kesihatan dan nilai moral masyarakat.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, menegaskan bahawa hukum menghisap, menjual dan mengedar vape adalah haram. Penetapan ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 Februari 2016 dan diwartakan secara rasmi pada 3 Mac 2016. Keputusan ini dibuat berasaskan prinsip utama dalam Islam yang melarang segala bentuk kemudaratan terhadap diri sendiri dan orang lain.
Hadis sahih riwayat Ibn Majah menyebut:
"Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain."
Dalam kerangka Maqasid Syariah, salah satu objektif utama adalah menjaga nyawa dan kesihatan (hifz al-nafs). Penggunaan vape bertentangan dengan prinsip ini kerana kajian sains membuktikan bahawa wap dari peranti ini mengandungi bahan toksik seperti formaldehid dan asetaldehid yang boleh merosakkan paru-paru, mencetuskan keradangan saluran pernafasan dan berisiko menyebabkan kanser.
Selain aspek kesihatan, penggunaan vape juga melibatkan pembaziran harta yang dilarang dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 27:
‘Sesungguhnya pembazir itu adalah saudara syaitan.’
Membelanjakan wang untuk membeli sesuatu yang memudaratkan tanpa manfaat adalah satu bentuk pembaziran nyata. Lebih buruk, ketagihan terhadap vape boleh menjadi pintu masuk kepada tabiat merbahaya lain, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Islam juga mengamalkan prinsip Sadd al-Dharai', iaitu menutup jalan kepada kemudaratan dan kejahatan sebelum ia menjadi lebih besar. Walaupun vape dilihat sebagai sesuatu yang ‘ringan’ pada permulaannya, realitinya ia boleh membawa kepada ketagihan yang lebih serius dan menjejaskan akhlak serta sosial masyarakat.
Sebagai langkah ke hadapan, Dr Mohd Sukki menyeru agar lebih banyak kerajaan negeri mencontohi Johor dan Terengganu dalam mengharamkan penjualan vape. Langkah ini adalah satu usaha pencegahan awal yang mampu melindungi kesihatan awam, terutamanya dalam kalangan belia, daripada beban penyakit dan keruntuhan moral yang lebih besar.
Vape bukan sekadar isu kesihatan, ia juga merupakan cabaran terhadap nilai agama, akhlak, dan sosial masyarakat. Islam dengan tegas menolak segala bentuk kerosakan sama ada fizikal, mental atau spiritual kerana agama ini dibina atas dasar kasih sayang, penjagaan, dan perlindungan terhadap insan. Maka, sebagai umat Islam, kita harus sentiasa peka terhadap ancaman mafsadah dan berusaha menjauhinya demi masa depan yang lebih sejahtera dan diredhai Allah SWT.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.