
Foto: Instagram
Penyanyi terkenal, Zizi Kirana meluahkan kekecewaan apabila penyertaannya dalam misi kemanusiaan ke Gaza bersama Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini dipersoalkan oleh segelintir pihak.
Menurut Zizi, apa yang sepatutnya diberi perhatian ialah tujuan misi tersebut, iaitu untuk membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin, bukannya mempertikai peranan selebriti yang terlibat.
“Yang lebih penting sekarang ialah kita bersatu hati menyalurkan bantuan serta menyebarkan kesedaran mengenai apa yang berlaku di Gaza. Malangnya, ada yang memilih untuk menimbulkan isu remeh sehingga menjejaskan semangat kami,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.
Zizi turut menyindir pihak yang masih mempersoalkan hukum wanita menyertai misi kemanusiaan, meskipun pihak mufti telah memberi penjelasan jelas.
“Jawapan sudah diberi oleh mereka yang berautoriti, tetapi ada yang tetap tidak mahu mendengar. Seolah-olah mencari alasan untuk terus mengecam,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, penyertaannya dan ahli rombongan lain tidak ditaja oleh mana-mana pihak. Semua kos, termasuk tiket penerbangan ke Barcelona serta pelayaran menaiki kapal layar, ditanggung sendiri oleh peserta.
Dalam masa sama, Zizi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong serta mendoakan keselamatan mereka sepanjang misi berlangsung.
Misi GSF yang bermula pada 29 Ogos lalu disertai kira-kira 20 kapal layar dari pelabuhan di Sepanyol, termasuk tiga wanita Malaysia antaranya pelakon Ardell.
Rombongan dijangka tiba di Gaza pertengahan September, selepas dua percubaan sebelum ini pada Jun dan Julai terpaksa dibatalkan akibat campur tangan Israel.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengisytiharkan situasi kebuluran di Gaza, dengan lebih 500,000 penduduk berada dalam keadaan darurat serta memerlukan bantuan segera.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.