Pelakon versatil, Adam Corrie Lee Abdullah berkongsi pengalaman manis dalam hidupnya apabila nekad untuk memeluk agama Islam, pada 14 tahun lalu.
Mesra disapa Adam, dia mengakui telah menerima petunjuk dan hidayah melalui mimpi apabila terjaga daripada tidur ketika azan Subuh sedang berkumandang.
“Saya masih ingat lagi pada waktu pagi sekitar pukul pukul 3 hingga 4 pagi, 13 Julai 2007 iaitu 14 tahun lalu, yang ketika itu saya belum kembali pada fitrah (menganut Islam). Tapi saya nekad inginkan kehidupan yang lebih baik.
“Saya berdoa meminta pada Allah. Ya Allah, sekiranya agama Islam adalah pegangan agama aku hingga mati, berikanlah aku petunjuk.” katanya.
Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, Adam juga memaklumkan tanggal 13 Julai adalah tarikh yang tidak dapat dilupakan iaitu hari peroleh hidayah Allah SWT.
Tambahnya, dia terus pergi ke Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) untuk proses memeluk Islam sebaik mengalami mimpi tersebut.
“Paginya, saya terus pergi ke Perkim untuk mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Amran Abdullah pada usia saya 39 tahun.
“Alhamdulillah. Allah telah berikan taufik dan hidayah kepada hamba-Nya yang mencari kebenaran dalam hidup ini.
“Semoga Allah terus kekalkan iman dan istiqamah dalam Islam kepada diri saya dan kita semua,” ujarnya.
Rata-rata warganet turut gembira dan bersyukur dengan perjuangan Adam dalam mengerti agama Islam dengan lebih mendalam.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.