Penyampai radio ZAYAN, Mawi akur dengan perintah kerajaan apabila tidak dapat pulang ke kampung halaman setelah Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Memetik laporan Gempak, Asmawi Ani atau mesra disapa Mawi, dia merindui suasana bersama keluarga dan adik-beradik di kampung kerana sudah dua tahun tidak dapat beraya bersama mereka.
“Keluarga dan adik-beradik saya masih di kampung, tiada apa yang mencabar cuma tahun ini sedikit berbeza sebab tak dapat beraya bersama keluarga di kampung,” katanya.
Tambahnya, amalan marhaban iaitu tradisi mengunjungi rumah ke rumah antara amalan yang dirindui apabila menyambut aidilfitri di kampung.
“Kemeriahan di kampung saya agak berlainan kerana kami menjalankan aktiviti Marhaban dari rumah ke rumah di pagi raya dan sekarang kita tak dapat lakukan,” ujarnya.
Peningkatan kes COVID-19 ini membuat Mawi terpanggil untuk berpesan kepada orang ramai sentiasa reda dan tabah atas apa yang berlaku.
“Rata-rata ramai yang sedih sebab tak dapat balik kampung, nak beraya dengan keluarga semua tapi perlu peka dengan keadaan yang berlaku dan utamakan keselamatan,” katanya lagi.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.