Penyanyi Tajul Ariff sanggup menangguhkan tawaran kerja dan memperlahankan aktiviti perniagaannya untuk memberi fokus kepada isterinya, Nurul Shamieza Eddie.
Menurut Tajul, tindakannya itu diambil kerana mengambil berat keadaan isterinya yang sedang sarat hamil sembilan bulan dan bakal bersalin bila-bila masa sahaja.
“Saya ambil keputusan untuk menangguhkan semua kerja kerana mahu sentiasa berada di sisi. Kalau keluar bekerja pun macam hari ini, saya tidak keluar lama-lama kerana bimbang keadaan isteri.
“Bila-bila masa sahaja isteri saya akan bersalin. Kalau ada di luar rumah lama-lama pun fikiran ini asyik teringat pada dia. Risau!
“Apa pun saya harap urusan kami untuk menyambut anak kedua ini dipermudahkan,” katanya.
Tambahnya, pandemik COVID-19 ini antara cabaran yang dilalui isterinya kerana terpaksa menempuh kehamilan kedua dan melahirkan anak tanpa ditemani disebabkan SOP ketika ini.
“Memang agak mencabar buat isteri dan saya juga kerana tidak dapat bersama saat kelahiran anak kedua kami.
“Yang saya tahu, prosedur untuk kemasukan wad pada musim COVID-19 ini semua pesakit diwajibkan swab test.
“Saya berdoa agar semuanya dipermudahkan dan berharap agar ibu dan bayi berada dalam keadaan baik dan sihat-sihat sahaja,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Tajul dan Shamieza mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 dan hasil perkongsian hidup bersama, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Adriana Carissa yang kini berusia dua tahun.
Sumber: Gempak
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.