Pelakon Tash Yong mahu untuk terus kekal bertudung ditetapkan Allah SWT sehingga ke akhir hayat biarpun belum setahun berhijab.
Nur Natasha Shazlia Rosli atau mesra disapa Tash, dia sentiasa berdoa untuk istiqamah dalam penghijrahan dirinya ke arah lebih baik serta mendapat keredaan di dunia dan akhirat.
"Saya buat keputusan bertudung ini dengan rela hati pada Aidiladha tahun lalu bukan kerana bimbangkan penularan pandemik Covid-19 dalam negara ketika itu, tetapi melihat pada usia yang makin meningkat.
"Kita tidak akan kekal muda. Jadi, sampai bila saya harus leka dan tidak cuba memperbaiki diri ke arah kebaikan demi pengakhiran hidup sendiri suatu hari nanti. Saya pun tak tahu sehingga bila Allah pinjamkan nyawa ini. Jadi, saya kena usaha membuat perubahan itu.
"Walaupun, ada kata-kata dan dakwaan kurang enak dilemparkan terhadap saya dengan penghijrahan ini tapi biarlah apa orang nak cakap. Bagi saya, yang pasti niat hati saya hanya Allah maha mengetahui," katanya.
Pelakon berusia 31 tahun itu berkata pendapatan utamanya kini adalah perniagaan dan dia turut menepis dakwaan dia berhijab kerana mahu berumah tangga dan memperoleh banyak peluang dalam kerjaya seni.
"Sejak beberapa tahun lalu saya sudah mula menceburi perniagaan dengan menjual kerepek untuk membantu peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan luar bandar memasarkan produk mereka secara komersial.
"Alhamdulillah, sambutan dan maklum balas diterima sangat positif. Malah, saya bersyukur dalam perjalanan ini Allah banyak membantu segala perancangan dibuat berjalan dengan lancar," katanya.
Menerusi beberapa hantaran di akaun Instagramnya, Tash dengan rela hati membuang semua foto-foto lama ketika tidak bertudung dahulu.
"Walaupun, jumlah pengikut saya di Instagram sekitar 126,000 orang saja, alhamdulillah syukur. Bagi saya, cukup dapat berkongsi segala perkara positif dengan mereka seperti aktiviti memasak dan kata-kata motivasi.
"Setakat ini, kebanyakan pengikut media sosial saya aktif dan mereka memberikan sokongan pada setiap aktiviti bantuan yang dilakukan. Malah, dengan maklum balas diberi itu, saya jadi sangat bersemangat," katanya.
Dalam perkembangan seninya, Tash gembira mendapat tawaran berlakon drama dan kebanyakan watak diterima pula sebagai guru dan ustazah.
"Apapun, saya sekarang semakin jatuh cinta dengan bidang pengacaraan sebenarnya. Alhamdulillah, rezeki mengacara pun ada dan saya pasti enggan melepaskan apa sahaja peluang yang datang.
"Sejujurnya, jiwa saya sangat selesa apabila mengacara. Setakat ini, saya sudah terbabit mengacarakan dua program TV. Ternyata, ia memberikan pengalaman yang amat berbeza," ujarnya lagi.
Sumber: Harian Metro