Foto: Instagram
Tragedi penuh ironi menyelubungi Gaza apabila wartawan dan jurugambar Palestin, Saleh Aljafarawi, dikebumikan pada hari yang sama abangnya, Naji Aljafrawani, dibebaskan dari penjara Israel dalam pertukaran tahanan pada Isnin.
Saleh, yang dikenali ramai kerana liputan beraninya mengenai serangan berterusan Israel di Gaza, dilaporkan terbunuh pada Ahad ketika sedang membuat liputan di kawasan kejiranan Sabra, Gaza City.
Menurut laporan Al Jazeera, beliau ditembak mati oleh milisi yang disokong Israel ketika berlaku pertempuran antara kumpulan bersenjata dan pasukan keselamatan Hamas.
Kematian Saleh berlaku hanya beberapa jam sebelum pembebasan abangnya. Detik yang sepatutnya menjadi pertemuan semula keluarga selepas sekian lama, namun bertukar menjadi hari kesedihan.
Dalam salah satu video terakhirnya, Saleh sempat merakam pesanan menyentuh hati, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berdiri bersama perjuangan Palestin dalam apa jua cara sepanjang dua tahun kebelakangan ini sama ada melalui pemulauan, demonstrasi atau solidariti kemanusiaan.
“Banyak tragedi bakal muncul dalam beberapa hari mendatang,” katanya tanpa menyedari bahawa kematiannya sendiri bakal menjadi salah satu daripadanya.
“Teruskah bersama Gaza. Tanah ini milik kita, dan kita akan terus kekal di sini. Kita akan membina semula Gaza, menjadikannya lebih baik daripada sebelumnya.”
Nama Saleh Aljafarawi cukup dikenali di dunia Arab, bukan sahaja kerana liputannya yang berani, tetapi juga kerana ketulusannya dalam menggambarkan penderitaan dan ketabahan rakyat Palestin di tengah kehancuran.
Kini, Gaza bukan sahaja kehilangan seorang wartawan, tetapi juga suara kemanusiaan yang sentiasa menyeru dunia agar tidak melupakan derita bangsanya.
Legasi Saleh terus hidup melalui gambar, kata-kata dan semangatnya yang tidak pernah padam demi tanah air yang dicintainya.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.