Ketahuilah, walaupun anda belajar secara alam maya, iaitu sangat berbeza suasananya dengan pembelajaran di dalam kelas, namun adab-adab sebagai seorang pelajar perlu ditekankan dan dijaga kerana ia juga merupakan salah satu sumber keberkatan dalam menuntut ilmu.
Antara adab yang boleh dijaga semasa belajar secara atas talian ialah;
#1 Sertai kelas lebih awal
Walaupun belajar secara atas talian, namun itu tidak menjadikan alasan untuk menyertai kelas tersebut dengan lambat. Sebenarnya, lagi mudah untuk menyertainya dengan lebih awal. Anda sudah tidak perlu berkejar-kejar ke kelas. Cuma perlu tekan sahaja platform tersebut.
Gunakan peluang ini untuk mengamalkan adab yang diajar oleh para ulama dan golongan ilmuwan. Masuk kelas lebih awal daripada pensyarah. Kali ini, anda boleh sertai dua ke tiga minit lebih awal. Jangan biarkan pensyarah anda tertunggu-tunggu.
#2 Tetap sertai kelas walau lambat
Walaupun anda terbangun lambat atau mempunyai masalah capaian internet, tetaplah menyertai kelas anda. Pasti, bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu ini. Ditambah pula dengan berada di rumah, pasti banyak gangguan yang ada.
Namun, lama-kelamaan pasti akan terbiasa. Jadi, jangan sia-siakan peluang untuk menuntut ilmu ini.
#3 Terangkan kepada pensyarah keadaan anda
Berkomunikasilah dengan pensyarah anda jika terdapat masalah atau kekangan yang menjadi penghalang. Terangkan kepadanya perkara sebenar yang berlaku. Sama ada beliau akan memahami atau tidak, itu merupakan perkara kedua.
Yang penting, anda sudah cuba untuk menyelesaikan masalah anda. Jika punya masalah untuk belajar di waktu pagi contohnya, kerana anda perlu membantu ibu anda di dapur, mungkin pensyarah anda akan cuba menganjakkan masa sedikit.
#4 Buka kamera peranti anda
Antara aplikasi yang terkenal dalam kelas atas talian ini ialah Zoom dan Google Meet. Pengguna boleh memilih untuk menyertainya tanpa kamera terbuka atau sebaliknya.
Sebaiknya, bukalah kamera peranti anda agar semua orang dapat melihatnya, terutamanya pensyarah anda. Ia adalah salah satu adab yang perlu diamalkan di samping untuk mengelakkan penipuan.
#5 Fokus dan beri perhatian sepenuhnya
Beri perhatian sepenuhnya di dalam kelas. Walaupun pensyarah tidak dapat melihat anda secara penuh, namun penting untuk anda fokus kepada pengajaran yang diberikan.
#6 Tutup aurat dan kemas
Cuba untuk menjaga aib dan maruah diri dengan baik. Walaupun ia sekadar kelas atas talian, namun penting untuk berpakaian kemas dan menutup aurat.
Kemaskan rambut buat lelaki atau pakai tudung dengan sempurna buat perempuan, ia adalah antara perkara yang boleh diambil perhatian.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.