Orang tua-tua selalu berpesan, jangan terlalu gembira takut perkara buruk bakal menimpa.
Selalunya kita akan dengar tips atau apa yang perlu dilakukan untuk mengubat hati yang sedang sakit, sedih atau sedang menangani tekanan.
Kebiasaannya kita akan meminta nasihat daripada orang yang dekat dengan diri kita jika berada dalam situasi seperti ini untuk menyelesaikan masalah. Betul tak? Namun, apabila sedang berada dalam situasi gembira atau keseronokan menimpa diri anda, apa yang akan anda lakukan?

Manusia akan cenderung untuk melayan perasaan gembira tersebut sehinggalah mood itu berlalu atau ditimpa dengan perkara lain.
Orang akan selalu ingat satu sama lain bahawa kesedihan itu hanya ujian, tapi tahu tak bahawa kegembiraan juga merupakan ujian. Ujian untuk Allah melihat sejauh mana kita mampu kembali kepadaNya apabila diberikan nikmat atau mungkin pada waktu tersebut kita akan jauh dan lalai dariNya.
Jadi, apa yang boleh dilakukan saat anda merasa seronok dengan ‘hadiah’ dari Allah tersebut?
1. Bersyukur kepadaNya
Zahirkan syukur dengan ucapan ٱلْـحَـمْـدُ للهِ (Alhamdulillah) dan tetapkan dalam minda bahawa ia adalah kurnia dari Allah yang perlu disyukuri dan boleh ditarik kembali bila-bila masa.

Adalah lebih baik untuk melaksanakan sujud syukur kerana ia merupakan sunnah yang dilakukan apabila mendapat perkhabaran gembira. Ia boleh dilakukan apabila berada di luar solat dengan beberapa syarat yang perlu diikuti seperti menghadap kiblat dan juga menutup aurat.
Allah menerima pujian tiap-tiap hambaNya walaupun ia kelihatan kecil pada kita, namun besar padaNya.
2. Ucapkan terima kasih
Ucapan terima kasih juga bukan hanya perlu dizahirkan kepada si Pemberi Rezeki dan Kebahagiaan ini, namun juga kepada mereka yang terlibat. Ucapan terima kasih juga merupakan tanda kita bersyukur kepada Allah. Hal ini kerana, mereka juga merupakan antara asbab dan golongan yang telah Allah tetapkan untuk membantu perjalanan hidup kita.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ
Maksud: “Abu Hurairah RA berkata: “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4177)
Jika anda lulus dalam peperiksaan, ucapkanlah terima kasih kepada para pensyarah yang telah bertungkus lumus membantu anda dan juga kepada kawan-kawan yang sudi meminjamkan nota kepada anda untuk diulang kaji.
3. Memberi untuk jalan Allah

Selalunya kita akan mendengar orang tua-tua berpesan untuk memperbanyakkan sedekah agar rezeki itu boleh datang kepada kita semua dalam bentuk yang tidak dijangkakan. Percaya bahawa dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain juga. Apa kata, kali ini kita ubah gaya hidup dengan memberi setiap kali anda menerima sesuatu seperti berasa gembira di atas nikmat yang dikurniakanNya.
Tidak salah malah ia adalah sifat yang murni dan perlu sentiasa diamalkan oleh setiap insan. Untuk memberi, anda memerlukan hati yang ikhlas dan mood yang baik, maka gunakan peluang sewaktu gembira ini untuk menambah pahala anda.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.