
Astro menyambut Ramadan 1447 Hijrah dengan memperkenalkan kempen Bersama Lagi Jadi yang menekankan penghayatan nilai Islam, penyatuan ummah serta pengukuhan hubungan kekeluargaan menerusi pelbagai kandungan kerohanian dan hiburan patuh syariah untuk tontonan masyarakat.
Melalui kempen ini, Astro bukan sahaja menyajikan hiburan, malah memberi penekanan kepada program yang mampu meningkatkan kefahaman agama, memperkukuh akhlak serta mengajak masyarakat mengisi Ramadan dengan aktiviti bermanfaat melalui platform televisyen, radio, digital dan program lapangan.
Kempen Dakwah Diperluas Melalui Program Komuniti
Sebagai pembuka tirai Ramadan, Astro meneruskan program jelajah Assalamualaikum yang menjadi platform mendekati masyarakat sambil menyemarakkan semangat kebersamaan. Program tersebut akan berlangsung di Masjid Seberang Takir, Kuala Terengganu pada 7 Februari 2026 dengan pelbagai aktiviti berunsur keagamaan serta kebajikan komuniti.
Naib Presiden Melayu, Antarabangsa, Kanak-kanak dan On Demand Astro, Azlin Reza Azmi berkata tema Bersama Lagi Jadi mencerminkan keindahan Ramadan yang lebih bermakna apabila disambut dengan pengisian rohani bersama keluarga dan masyarakat.
“Tahun ini, Astro mengangkat tema ‘Bersama Lagi Jadi’ bagi menzahirkan bahawa setiap detik Ramadan dan Syawal akan lebih bermakna apabila diraikan bersama insan tersayang.
“Kandungan yang disediakan juga memberi ruang kepada masyarakat untuk mendekatkan diri kepada ibadah, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Program Islamik Perkukuh Penghayatan Ramadan
Sepanjang Ramadan, Astro Oasis menampilkan pelbagai program keagamaan yang memberi fokus kepada penghayatan ibadah dan pemahaman Islam secara menyeluruh. Antaranya termasuk Home Of Ramadan yang bersiaran secara langsung setiap hari bekerja dengan segmen pengajian Al-Quran, tadabbur, tazkirah serta perkongsian ilmu agama.
Program Halaqah Nunha pula menampilkan gandingan Ustaz Haris Ismail dan Neelofa yang membincangkan topik berkaitan kehidupan berlandaskan ajaran Islam serta cabaran umat Islam masa kini.
Selain itu, MeleTOP Moreh x Tazkirah Malam Jumaat menggabungkan elemen hiburan dan dakwah bagi mendekati golongan muda dengan penyampaian ilmu secara santai, manakala Surau Hunting membawa penonton mengenali keunikan rumah ibadah serta kisah komuniti yang menghidupkan institusi surau.
Turut menjadi perhatian ialah program Mualim Muda: Ke Mekah, Kita! yang memaparkan perjalanan peserta menunaikan ibadah umrah, sekali gus memberi inspirasi kepada penonton untuk meningkatkan kecintaan terhadap ibadah.
Drama Sarat Pengajaran dan Nilai Keinsafan
Astro turut menampilkan beberapa drama yang mengetengahkan mesej keinsafan dan nilai kekeluargaan termasuk Andai Itu Takdirnya 2 yang mengupas konflik rumah tangga dan tanggungjawab seorang suami, Sujud Terakhir Encik Norman yang menyentuh isu akidah dan keteguhan iman, serta Misi Solat 5 Waktu yang memberi kesedaran tentang kepentingan menunaikan ibadah solat sejak kecil.
Selain itu, Keluarga Iskandar 3 dan Mencari Isteri Sempurna turut membawa mesej kekeluargaan serta pengajaran kehidupan yang dekat dengan realiti masyarakat.
Pengisian Santai Berunsur Nilai Murni
Pelbagai program hiburan turut disusun dengan pendekatan santai tetapi sarat mesej positif seperti MeleTOP Moreh, Dapur Bapak Bapak, Misi Lawak Superstar dan Kisah Hidupku yang menampilkan kisah inspirasi individu yang menyumbang kepada masyarakat.
Bagi penonton kanak-kanak, animasi Upin dan Ipin Musim 19 kembali dengan kandungan yang menekankan nilai persahabatan, hormat-menghormati dan kasih sayang dalam keluarga.
Kandungan Digital dan Radio Semarakkan Amal Kebajikan
Melalui platform digital Astro Gempak, rancangan seperti Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani dan Sayang Ajar Masak musim ketiga memberi kelainan hiburan Ramadan yang mengangkat nilai kerjasama dan kebersamaan.
Astro Radio pula menyediakan pelbagai program kebajikan termasuk Rasa Kasih Zayan yang melibatkan penyediaan juadah berbuka puasa untuk golongan gelandangan. Selain itu, beberapa segmen radio lain turut menampilkan aktiviti gotong-royong, perkongsian rezeki serta program komuniti bagi memupuk semangat bersedekah sepanjang Ramadan.
Tayangan Filem Sentuh Isu Sosial dan Nilai Kemanusiaan
Melalui Astro First, penonton disajikan dengan filem yang mengangkat isu kekeluargaan, keinsafan dan nilai kemanusiaan seperti Akad Yang Hilang, Abah Saya Uncle Mike dan Amira Amir yang mengetengahkan cabaran kehidupan masyarakat dari pelbagai latar belakang.
Inisiatif Kebajikan Melalui Astro Kasih
Sempena Ramadan, Astro Kasih turut menganjurkan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk menjemput 50 pelajar Kem Solat menyertai program Assalamualaikum serta menyalurkan 100 pek sumbangan melalui inisiatif Grobok Rezeki kepada golongan asnaf.
Astro turut membuka peluang kepada masyarakat untuk menyumbang melalui Program Kasih Ramadan bagi membantu golongan memerlukan dan menggalakkan amalan bersedekah sepanjang bulan mulia.
Maklumat lanjut mengenai kandungan Ramadan Astro 2026 boleh diperoleh melalui laman web rasmi kempen serta platform media sosial Astro, selain tawaran Pek Astro One yang menyediakan pelbagai kandungan hiburan dan kerohanian untuk seisi keluarga.