Perbicaraan mengenai takwa seringkali berlaku, namun tahukah anda apa itu maksud sebenar di sebalik ungkapan takwa?
Ia adalah sebuah perbuatan taat kepada Allah dengan melakukan setiap perkara yang disuruh dan meninggalkan segala larangan yang ada. Namun, sekadar mana seseorang itu perlu taat kepada Allah dan perlu patuh akan aturan yang ada?

Ada sebuah konsep yang dibahasakan ulama, iaitu bertakwalah sekadar kemampuan diri sendiri. Tidak perlu membandingkan diri dengan orang lain atau melakukan amalan di luar batasan sendiri.
Kemampuan diri setiap manusia berbeza-beza. Ada yang mampu menunaikan solat di awal waktu, namun mereka kekurangan harta untuk bersedekah. Ada yang tidak mampu menunaikan solat di awal waktu, namun mereka boleh bangun malam untuk melakukan qiamullail.
Dan ada yang tidak mampu bersedekah dengan nilai wang berjuta-juta tetapi mereka boleh mencari saluran yang betul untuk menyampaikan sumbangan.

Setiap kemampuan yang Allah berikan kepada diri manusia adalah sesuai dengan dirinya sendiri. Sebagaimana dalam firman Allah yang berbunyi;
فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنفِقُوا خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ
Mafhum: “Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya).” (Surah At-Taghabun, 64:16)
Takwa itu perlu diletakkan sehabis baik, bukan sekadar ala kadar. Begitulah juga kita dengan kehidupan yang dilalui.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.