Foto sekadar hiasan
Pada zaman teknologi serba canggih ini, membaca al-Quran tidak lagi terbatas kepada mushaf semata-mata. Ramai umat Islam kini memilih untuk membaca ayat suci al-Quran melalui aplikasi mudah alih yang dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing.
Sebagai umat Islam, kita sedia maklum bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang amat dimuliakan dan wajib dijaga kehormatannya. Malah, terdapat banyak hadis yang menganjurkan amalan membaca al-Quran, termasuk sabda Nabi SAW:
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan."
– [Riwayat al-Tirmizi (2910)]
Justeru, menjaga adab dan kehormatan al-Quran adalah suatu keutamaan. Namun begitu, timbul satu persoalan dalam kalangan masyarakat, adakah dibolehkan membawa telefon yang mengandungi aplikasi al-Quran ke dalam tandas?
Trend Aplikasi Al-Quran Semakin Meluas
Dengan perkembangan teknologi, penggunaan aplikasi al-Quran menjadi semakin meluas kerana ia lebih praktikal dan mudah diakses di mana-mana sahaja. Pahala membaca al-Quran kekal sama sama ada melalui mushaf fizikal mahupun aplikasi dalam telefon, kerana yang dinilai adalah bacaan dan penghayatan terhadap ayat-ayat suci tersebut.
Namun, isu timbul apabila seseorang itu membawa telefon, yang turut mengandungi aplikasi al-Quran, masuk ke dalam tandas. Perkara ini menjadi keraguan bagi sesetengah individu yang bimbang akan melanggar adab terhadap al-Quran, memandangkan tandas dianggap sebagai tempat yang najis dan tidak suci.
Hukum Membawa Telefon Ada Aplikasi Al-Quran Ke Dalam Tandas
Menjawab persoalan ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah memberi penjelasan dalam laman rasmi beliau, Buku Dr. Zulkifli.
Menurut beliau, hukum membawa telefon yang mengandungi aplikasi al-Quran ke dalam tandas adalah HARUS, selagi mana aplikasi itu tidak dibuka atau tidak dipaparkan secara langsung ayat al-Quran.
Penjelasan ini berasaskan kepada kaedah fiqh:
"Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus, sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan kepada pengharaman."
– [Rujuk al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60]
Dengan itu, telefon yang mengandungi aplikasi al-Quran dianggap seperti alat biasa, selagi tidak digunakan untuk tujuan bacaan ketika berada di dalam tandas.
Haram Jika Pasang Bacaan Al-Quran Dalam Tandas
Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu dielakkan ialah memasang audio bacaan al-Quran ketika berada dalam tandas. Hal ini ditegaskan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, yang menyatakan bahawa perbuatan itu adalah haram, kerana ia dianggap mencemarkan kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran.
Kesimpulan : Boleh Bawa, Tapi Jangan Digunakan Di Dalam Tandas
Dibenarkan membawa telefon yang mengandungi aplikasi al-Quran ke dalam tandas, asalkan tidak dibuka atau digunakan untuk membaca ayat suci semasa berada di dalamnya.
Dilarang keras memainkan audio atau membaca al-Quran dalam tandas, kerana ia bercanggah dengan adab terhadap kitab suci Islam.
Sebagai umat Islam, kita disarankan agar sentiasa menjaga kesucian dan kehormatan al-Quran, sama ada dalam bentuk fizikal mahupun digital.
Sumber: YouTube
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.