Hidayah itu sudah tentu milik Allah. Tidak kira latar belakang, kisah silam mahupun usia seseorang itu. Jika Islam itu milik mereka dan itu kehendak Allah, maka seseorang itu akan berubah dengan serta merta.
Sepertimana yang disebutkan dalam Surah Al-An’aam ayat 125:
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.
Baru-baru ini seorang lelaki bernama Muhammad Bilal berkongsi di laman media sosial Instagram, kisah kanak-kanak berusia 9 tahun yang memeluk Islam.
Dalam hantaran itu, Bilal memuat naik sebuah rakaman video yang memaparkan kanak-kanak bernama Rudy mengucap dua kalimah syahadah di hadapannya.
Menurut lelaki itu, setiap hujung minggu Rudy dan ibunya, Claire akan sering menyertai program ‘Homeless Feeds” bersama Bilal untuk memberi makanan kepada golongan gelandangan dan tertarik dengan Islam.
Namun, sebelum Rudy mengucap dua kalimah syahadah, Bilal menyuruh kanak-kanak itu untuk meminta izin ibunya terlebih dahulu.
Jawapan ibunya amat mengejutkan! Ternyata ibunya merestui dan menyokong keputusan anaknya itu untuk memeluk Islam. Walaupun berlainan agama, ibunya tetap gembira dan menyayangi anak kecilnya itu.
“Tak semua ibu akan menyokong anaknya apabila mereka memeluk agama lain seperti ibu ini, Ma Shaa Allah. Moga Allah merahmatinya dengan cahaya keimanan,” tulis Bilal dalam satu lagi hantaran.
Rudy sudah mula menghadiri solat Jumaat buat kali pertama pada minggu lepas dan telah menukarkan namanya kepada Muhammad Muzammil.
Bilal turut berkongsi sebuah lagi hantaran menunjukkan Muzammil (Rudy) dan ibunya, Claire memberi bantuan kepada seorang warga emas bernama Sue dengan menghantarkan bekalan makanan kepadanya.
Baru-baru ini, Bilal berkongsi perkembangan terbaharu adik Muzammil dalam mempelajari Al-Quran bersamanya.
“Alhamdulillah Muhammad Muzammil (Rudy) memulakan perjalanannya untuk belajar membaca Al-Quran dengan sokongan penuh dari ibunya,” tulis Bilal.
Dalam video tersebut, Bilal sedang mengajar maksud Bismillah kepada Muzammil dan huruf-huruf Al-Quran.
MashaAllah! Semoga adik Muzammil menjadi adik yang soleh dan kekal istiqamah.
Sumber: Instagram Muhammad Bilal
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.