
Foto sekadar hiasan
Seorang guru sekolah rendah di Sukoharjo, Indonesia, ditahan pihak berkuasa selepas didakwa mencabul sekurang-kurangnya 20 orang muridnya dalam insiden yang dipercayai berlaku berulang kali sepanjang lebih tiga tahun.
Lebih mengejutkan, pihak sekolah dikatakan menyedari perbuatan terkutuk itu namun gagal mengambil tindakan tegas.
Menurut laporan media tempatan, kes ini terbongkar apabila seorang murid Tahun Dua memberanikan diri memaklumkan kepada ibu bapanya mengenai gangguan seksual yang dialami.
Guru terbabit, dikenali sebagai DI, berusia 37 tahun, kemudiannya dilaporkan kepada polis oleh keluarga mangsa.
Peguam keluarga mangsa, Lanang Kujang Pananjung, mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 20 orang murid menjadi mangsa gangguan tersebut.
Ada antara kes dilaporkan berlaku bukan sahaja di kawasan sekolah, tetapi juga di luar premis, termasuk semasa aktiviti kolam renang.
“Pada awalnya, hanya satu keluarga tampil membuat laporan. Namun selepas itu, semakin ramai ibu bapa yang berani tampil dengan kisah serupa. Setakat ini, sekitar 20 mangsa telah direkodkan,” katanya kepada media.
Salah seorang mangsa yang enggan dikenali turut berkongsi pengalaman pahitnya, menceritakan bahawa dia pernah diseret ke bilik mandi dan dicabul semasa sesi aktiviti berenang.
Tekanan daripada ibu bapa mangsa memaksa pihak sekolah mengambil tindakan memecat guru terbabit. Sementara itu, pihak polis telah menahan suspek awal April lalu untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Sukoharjo, AKP Anggaito Hadi Prabowo, mengesahkan penahanan tersebut dan memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan dengan teliti demi menegakkan keadilan.
Kes ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat dan menimbulkan persoalan serius mengenai peranan sekolah dalam menjaga keselamatan pelajar.
Banyak pihak mendesak agar langkah-langkah lebih ketat dilaksanakan untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.