Foto: Kosmo
Jemaah haji diingatkan supaya mengambil makna mendalam dalam ibadah melontar di tiga Jamrah – Jamrah Ula, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra – bukan sekadar memenuhi syarat wajib, sebaliknya sebagai simbolik penyucian hati dan penolakan sifat sombong serta tercela.
Menurut Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin, ibadah melontar yang dilaksanakan dari 10 hingga 13 Zulhijjah meneladani sunah Nabi Muhammad SAW serta menghidupkan kembali semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS.
Beliau menegaskan bahawa ia bukan sekadar amalan fizikal, tetapi satu komitmen rohani yang memberi kesedaran kepada jemaah bahawa mereka perlu membuang sifat mazmumah dalam diri dan berikrar untuk berubah menjadi insan lebih baik selepas menunaikan haji.
“Ia simbolik bagi membuang sifat-sifat mazmumah seperti sombong, ingkar dan segala sifat tercela dalam diri serta menjadi satu ikrar rohani agar jemaah berubah menjadi insan yang lebih baik selepas menunaikan haji,” jelas beliau di Mina baru-baru ini.
Beliau turut menambah bahawa jarang jemaah menyedari bahawa lontaran jamrah bukan semata-mata memerlukan kekuatan fizikal, tetapi juga mental dan rohani yang selari dengan matlamat utama haji iaitu membentuk jiwa yang bersih dan menghayati maksud sebenar ibadah tersebut.
“Melontar bukan semata-mata lemparan batu, tetapi satu pengisytiharan hati bahawa kita sanggup berubah, meninggalkan kejahatan, dan kembali kepada fitrah,” tambahnya.
Dalam usaha memberikan panduan lebih menyeluruh, Tabung Haji telah menganjurkan siri tazkirah dan bimbingan ‘Bicara Mina’ untuk jemaah Malaysia sepanjang tempoh mabit di Mina.
Menurut Shahrin, sesi bimbingan diadakan selepas solat Subuh dan Zohor dan merangkumi panduan ibadah seperti lontaran jamrah, tahalul awal, serta perbezaan antara nafar awal dan nafar thani. Aktiviti ini diharap memberi kefahaman holistik tentang rukun dan wajib haji, sekaligus membantu jemaah menjalankan ibadah dengan lebih penuh penghayatan.
Selepas wukuf di Arafah semalam, jemaah haji Malaysia dijadualkan bergerak ke Muzdalifah sejurus selepas waktu Maghrib kira-kira jam 7.01 malam dan bermabit di situ mulai jam 11.36 malam sebelum meneruskan perjalanan ke Mina untuk melaksanakan ibadah melontar.
Tempoh mabit ini menjadi fasa penting untuk memperbanyakkan amalan ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir bagi menyokong proses penenangan diri dan pemantapan rohani.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.