Foto: Tangkap layar TikTok
Banjir lumpur yang melanda Aceh, Indonesia memang sudah reda, tetapi bekas kesan bencana itu masih jelas dirasai oleh penduduk tempatan. Banyak kediaman rosak teruk, ada yang tidak lagi boleh didiami, malah ramai yang masih menanggung kesedihan kerana kehilangan insan tersayang.
Imam Muda Asyraf berkongsi pengalaman menyentuh hati ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa bencana.
Dalam salah satu pertemuan itu, beliau bertemu seorang wanita tua yang berjalan dengan perlahan namun tekadnya kuat, walaupun tubuhnya kelihatan lemah.
Asyraf berkata, wanita itu sanggup melangkah jauh hingga ke kawasan utama semata-mata untuk mengambil bantuan dapur gas yang disumbangkan kepada mangsa. Namun, apa yang lebih memilukan adalah ketika wanita itu mula menangis dan berulang kali menyebut nama anaknya.
“Dia datang dengan langkah perlahan, tapi saya dapat lihat kesakitannya. Dia menangis sambil menyebut ‘anak saya… anak saya…’ berulang kali,” kongsi Asyraf.
Dari raut wajahnya, Asyraf merasakan wanita itu sedang merindui seorang anak yang tidak kembali. Malah, beliau percaya anak yang ditunggu itu sudah tiada, sehingga air mata terus mengalir tanpa henti.
@ustazasyrafridzuan Saya tak mampu lagi menahan. Mendengar rintihan seorang ibu tua. Dengan tubuh yang uzur, dia berjalan jauh ke jalan besar semata-mata untuk membawa pulang dapur gas yang disumbangkan. Langkah kakinya terlihat menahan sakit. Tetapi tekadnya kuat. Tak terduga secara tiba-tiba, Ibu tua ini terus memegang saya sambil menangis lantas memanggil, “anak saya.. anak saya.." berulang kali. Dalam matanya, ada bayangan seorang anak yang tidak sempat pulang. Rupanya anak ditunggu itu sudah pergi tak kembali. Tak pelik jika suaranya, ada rindu yang tidak pernah sembuh. Tiada apa yang mampu dariku melainkan dipeluk dengan air mata. Aceh meninggalkan kenangan air mata #fyp #aceh #xyzbca #imammudaasyraf #fy ♬ original sound - Imam Muda Asyraf
“Rintihan itu seperti mengungkapkan kehilangan yang terlalu dalam. Saya sendiri tidak mampu menahan sebak. Aceh benar-benar meninggalkan kenangan yang penuh air mata,” katanya lagi.
Klip tersebut kemudian menjadi tular dan mendapat perhatian ramai di media sosial. Rata-rata netizen meninggalkan komen penuh simpati dan doa buat mangsa bencana.
Seorang pengguna menulis, “Kita mungkin susah, tetapi mereka lebih memerlukan bantuan. Semoga Allah permudahkan urusan mereka.”
Seorang lagi menyatakan, “Ya Allah, jagakan ibu tua ini. Mudahkan segala urusannya.”
Ada juga yang mengambil pengajaran dari kejadian itu, menasihati supaya lebih menghargai ibu bapa yang masih hidup.
“Kalau ada ibu dan ayah, pergilah ziarah mereka. Orang tua tidak mahu harta, tetapi rindu anak-anak,” tulis seorang pengguna.
Rata-rata netizen berharap agar wanita tersebut dan penduduk Aceh diberi kekuatan untuk bangkit semula selepas bencana.
Sumber: TikTok @ustazasyrafridzuan
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.