
Dalam kehidupan seharian, ramai antara kita sering risau tentang soal rezeki seperti cukup atau tidak, cepat atau lambat atau daripada mana ia akan datang. Namun satu ayat daripada Surah Hud ayat 6 memberikan peringatan yang sangat mendalam buat semua manusia.
Menerusi ayat tersebut, Allah SWT berfirman bahawa tidak ada satu pun makhluk yang bergerak di muka bumi ini melainkan Allah telah menjamin rezekinya.
Petikan terjemahan ayat tersebut berbunyi:
“Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”
-Surah Hud, ayat 6
Ayat ini menjadi peringatan bahawa setiap makhluk tidak kira manusia, haiwan bahkan sekecil-kecil makhluk di bumi telah ditetapkan rezekinya oleh Allah SWT.
Namun, para ulama menjelaskan bahawa jaminan ini bukan bermaksud manusia boleh berpeluk tubuh tanpa usaha. Islam tetap mengajar umatnya untuk bekerja, berikhtiar dan berusaha mencari rezeki yang halal.
Apa yang ayat ini ingin tanamkan ialah keyakinan bahawa rezeki tidak pernah tersalah alamat.
Kadang-kadang kita melihat orang lain mendapat sesuatu lebih cepat, lebih banyak atau lebih mudah. Tetapi hakikatnya, setiap orang mempunyai bahagian rezeki yang berbeza dan sudah tertulis di Lauh Mahfuz.
Ayat ini juga menyebut bahawa Allah mengetahui tempat kediaman makhluk dan tempat penyimpanan atau pengakhirannya.

Foto Hiasan
Ini menunjukkan bahawa ilmu Allah meliputi segala-galanya, daripada permulaan kehidupan sehingga ke penghujungnya.
Tidak kira di mana kita berada, di bandar besar atau di pelosok dunia, Allah mengetahui keadaan hamba-Nya dan rezeki yang telah ditetapkan untuk mereka.
Bagi sesiapa yang sedang diuji dengan kesempitan hidup, ayat ini sering dijadikan sumber ketenangan dan harapan.
Kerana hakikatnya rezeki tidak hanya dalam bentuk wang, ia juga boleh hadir sebagai kesihatan, keluarga, ketenangan hati dan peluang kehidupan
Dan yang paling penting, rezeki tidak akan pernah tertukar antara manusia.
Kadang-kadang kita hanya perlu terus berusaha, bersabar dan bertawakal kerana apa yang Allah tetapkan untuk kita pasti akan sampai juga, tepat pada waktunya.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.