
Foto: Bernama
Demi menunaikan rukun Islam kelima, Yahya Che An sanggup melepaskan sebuah rumah miliknya demi menunaikan ibadah haji bersama isteri tercinta, satu pengorbanan besar yang mencerminkan keikhlasannya.
Yahya, 71 tahun, seorang peniaga martabak dari Batang Kali, Selangor, nekad menjual salah satu daripada dua rumahnya kepada anaknya dengan harga RM100,000 demi merealisasikan impian menunaikan haji yang telah disimpan bersama isterinya, Nor Aini Abdullah, 66, selama 25 tahun.
“Saya bimbang kalau Allah SWT tanya kenapa tak tunaikan haji sedangkan kita mampu. Di akhirat tiada peguam bela. Jadi saya rela jual rumah demi haji. Saya beritahu isteri kita dah tiada apa apa di dunia ini hanya tinggal amal ibadah.
“Rumah itu hasil titik peluh memang berat untuk dilepaskan tapi kini saya sangat bersyukur kerana dapat sempurnakan rukun Islam kelima,” katanya ketika ditemui media di Hotel Abraj Al Janadriyah selepas tiba dari Mina Isnin lalu.
Yahya juga bersyukur kerana berjaya melaksanakan ibadah nafar thani bersama isterinya meskipun usia mereka sudah lanjut dan kesihatan tidak sekuat dahulu. Antara cabaran utama yang dilalui termasuklah sakit lutut keletihan dan kesukaran mendapatkan kemudahan asas.
“Di Mina sangat mencabar. Beratur lama untuk guna tandas badan pula sudah lemah. Untuk ibadah melontar jamrah saya minta tolong anak saudara kerana kami dinasihatkan untuk tidak pergi sendiri memandangkan cuaca terlalu panas mencecah 42 darjah Celsius,” ujarnya.
Katanya lagi hasrat untuk menunaikan haji telah lama wujud namun ditangguhkan kerana keutamaan diberikan kepada membesarkan enam orang anak.
“Syukur Alhamdulillah semua anak berjaya ke menara gading. Ada yang bekerja ada yang sedang sambung belajar ke peringkat PhD. Mereka semua membesar jadi anak yang baik,” katanya penuh rasa syukur.
Sebelum berniaga martabak Yahya pernah bekerja sebagai pemandu lori. Selepas bersara beliau mula berniaga secara kecil kecilan menggunakan kereta Perodua Kancil sejak tahun 2009. Kini katanya kudrat sudah tidak sekuat dahulu.
Mulai semalam jemaah haji Malaysia yang memilih untuk menyempurnakan nafar thani telah mula kembali secara berperingkat ke tempat penginapan masing masing di Makkah selepas selesai melontar jamrah pada 13 Zulhijah. Setibanya di Makkah para jemaah akan menunaikan tawaf dan saie haji bagi melengkapkan keseluruhan ibadah sebelum pulang ke tanah air.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.