
Foto Hiasan
Satu perkongsian tular di media sosial baru-baru ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen apabila seorang pengguna Threads berkongsi kisah menyayat hati melibatkan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang disahkan menghidap diabetes serta saluran darah tersumbat.

Foto: Threads
Apa yang lebih mengejutkan, keadaan ini dipercayai berpunca daripada tabiat pemakanan tidak sihat yang diamalkan sejak kecil. Menurut perkongsian tersebut, kanak-kanak itu diberi makan nugget dan hotdog sebagai makanan utama setiap hari oleh ibunya. Bayangkan, makanan yang sepatutnya hanya dijadikan makanan sampingan atau sekali-sekala, dijadikan hidangan utama sehingga anak tersebut langsung tidak mahu makan nasi.
Pengasuh anak yang berkongsi cerita ini meluahkan rasa terkejut apabila mendapati ibu kepada kanak-kanak itu membekalkan dua pek nugget setiap dua minggu, tanpa sebarang variasi makanan lain. Tidak cukup dengan itu, makanan ringan manis turut menjadi snek harian anak kecil itu.

Foto Hiasan
Akibatnya, anak tersebut kini terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan secara mingguan di hospital akibat penyakit diabetes yang dihidapinya. Menyedari kesan buruk terhadap pemakanan tidak sihat itu, pengguna tersebut menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk memperlekehkan usaha ibu kanak-kanak itu, sebaliknya menjadikan kisah itu sebagai satu pengajaran penting dalam mendidik anak-anak tentang pemakanan sihat.
Kisah ini wajar dijadikan iktibar kepada semua ibu bapa di luar sana. Dalam dunia yang serba pantas, ramai yang memilih jalan mudah dengan memberi makanan segera dan snek manis kepada anak-anak tanpa menyedari impaknya kepada kesihatan jangka panjang.
Makanan seperti nugget, hotdog dan snek bergula tinggi bukan sahaja rendah nutrisi, malah mengandungi bahan pengawet, garam serta gula yang tinggi. Jika diamalkan secara kerap, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius seperti obesiti, diabetes, darah tinggi dan pelbagai penyakit kronik lain walaupun pada usia yang sangat muda.
Mendidik anak untuk makan makanan sihat bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia boleh dimulakan dengan langkah kecil. Antaranya dengan menyediakan makanan seimbang, hadkan makanan proses dan ibu bapa juga turut serta dalam menunjukkan contoh yang baik dengan mengamalkan pemakanan yang sihat.
Kesihatan anak-anak adalah tanggungjawab utama ibu bapa. Pemakanan yang baik sejak awal bukan sahaja membentuk tabiat makan sihat, malah menjamin kesihatan mereka untuk jangka masa panjang. Kisah kanak-kanak ini harus dijadikan peringatan bahawa kasih sayang bukan sekadar memberi makan, tetapi memberi yang terbaik untuk kesihatan dan masa depan mereka.
Sumber: Threads
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.