Foto: Instagram
Peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman mengesahkan kapal konvoi menuju Gaza kini berada di zon kuning.
Dalam hantaran di media sosial, pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) itu memaklumkan pelayaran dijangka memasuki zon merah pada Khamis.
“Selesai night watch dua jam. Ada nampak beberapa dron tapi jauh, jadi kita tenang-tenang saja. Sikit lagi nak sampai G. Tunggu kami datang, saudaraku,” tulisnya ringkas awal pagi tadi.
Beliau turut memohon doa seluruh rakyat agar perjalanan konvoi berjalan lancar dan selamat.
Sementara itu, seorang lagi sukarelawan Malaysia, Muhammad Abdullah atau Ustaz Mad Kechik, juga merayu doa orang ramai untuk keselamatan misi tersebut. Katanya, kapal yang dinaikinya sudah melepasi zon kuning dan akan memasuki zon merah sebelum tiba di perairan Gaza.
“Doakan kami selamat sampai ke bumi Gaza. Sekarang baru melepasi garisan kuning, Insya-Allah seterusnya menuju zon merah sebelum tiba ke Gaza dengan izin Allah SWT. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah Yang Maha Agung. Kami hanya berdoa dan bermunajat,” katanya.
Difahamkan, zon kuning merangkumi kawasan berjaga-jaga sejauh 300 batu nautika dari pesisir Gaza, manakala zon merah adalah kawasan berisiko tinggi berhampiran perairan yang dikawal rejim Zionis.
GSF membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan dengan penyertaan lebih 34 rakyat Malaysia serta aktivis antarabangsa dari pelbagai negara bagi menembusi sekatan laut Israel dan menyalurkan bantuan terus ke Gaza.
Sebelum ini, konvoi tersebut dilaporkan berdepan cubaan intimidasi dan gangguan ketika menghampiri perairan Gaza.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.