Hutang sama ada sedikit atau banyak, ia perlu diselesaikan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Tertulis dalam ayat yang paling panjang di surah Al-Baqarah, ia menceritakan betapa besarnya perihal hutang.
Bahkan, antara ayat yang sinonim dan sering kita dengar mengenai orang yang berhutang adalah rohnya akan tergantung sekiranya tidak dilangsaikan.

Dalam berhutang, pastinya wujud beberapa perjanjian yang telah dipersetujui antara pemiutang dan penghutang seperti tempoh bayaran dan sebagainya. Ini untuk memudahkan si penghutang untuk melunaskan hutang yang telah dipinjam supaya tiara kekeliruan atau permasalahan antara kedua belah pihak.
Namun, adakalanya seseorang itu sudah mampu untuk membayar hutang, tetapi memilih untuk menunda pembayaran tersebut, sama ada disebabkan ingin menunggu tempoh masa sampai atau sengaja melewat-lewatkannya.
Jadi, apakah hukum perbuatan ini kepada si penghutang? Adakah boleh untuk menunda-nunda pembayaran hutang?
Jumhur ulama menyebut bahawa hukum melambat atau menangguh pembayaran hutang bagi mereka yang berkemampuan adalah haram.

Hal ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda;
مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيءٍ فَلْيَتْبَعْ
Maksud: “Menangguh pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman. Jika salah seorang dari kamu memindahkan hutang itu pada orang yang kaya, maka terimalah ia (pemindahan hutang).” (HR Bukhari, no. 2287)
Lebih-lebih lagi jika menggunakan wang untuk pembayaran hutang ke arah yang boros dan tidak terkawal sedangkan hak ke atas manusia belum lagi dilunaskan, maka ia adalah perbuatan yang dilarang.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.