Anda suka makan makanan pedas? Makan ramen Samyang sebagai sarapan? Tidak mahu bersenam sebab makan makanan pedas sudah mengeluarkan peluh yang banyak? Mungkin ia bukan sesuatu yang teruk.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa mereka yang gemar makan makanan yang pedas mungkin akan hidup lebih lama. Sebuah kajian yang dijalankan oleh Universiti Vermont, Amerika Syarikat menunjukkan terdapat titik perkaitan antara umur yang panjang dan berkurangnya risiko kematian. Hasil kajian ini turut mengaitkan kurangnya risiko daripada menghidapi penyakit jantung atau angina ahmar.

Adakah anda tahu cili apa yang paling pedas di dunia? Pemegang rekod cili terpedas di dunia mengikut Guiness World Records pada tahun 2017 dan diuji semula pada tahun 2018 adalah cili yang diberi nama Carolina Reaper.
Kadar kepedasan sesebuah cili diukur mengikut Unit Kepedasan Scoville (Scoville Heat Unit, SHU). Carolina Reaper memberikan skala sebanyak 2,200,000 SHU. Sebagai perspektif, cili padi yang selalu digunakan di Malaysia di dalam sambal belacan dan masak lemak cili padi hanya berada pada skala 50,000-100,000. Kepedasan cili ini adalah 22 kali ganda daripada kepedasan cili padi yang kita sayangi itu.

Beberapa cili yang bertanding dengan Carolina Reaper untuk menjadi cili terpedas dunia dan kecundang termasuklah cili Trinidad Moruga Scorpion (2,009,231 SHU), 7 Pot Doughlah (1,853,936 SHU), dan juga Naga Viper (1,349,000 SHU). Mendengar nama-nama cili ini sahaja sudah menyebabkan kita berpeluh dan bertakung air liur.
Bagi penggemar-penggemar cili di luar sana, adakah anda berani untuk mencuba sang Carolina Reaper? Yang penting sediakan susu di sebelah anda dan kosongkan jadual bilik air.
Sumber: ScienceDaily, PepperHead
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.