![memakai pakaian tidur untuk solat](https://media2.fishtank.my/media/zayan/assets/articles/whatsapp-image-2019-11-26-at-2-04-22-pm.jpeg)
Apakah hukumnya jika memakai pakaian tidur untuk mengerjakan solat terutamanya solat subuh. Di antara syarat sah solat ialah bersihnya badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu. Pakaian yang ingin dibawa solat haruslah bersih dari segala najis terlebih dahulu. Ini merupakan salah satu kesempurnaan amalan terutamanya di dalam ibadah solat.
Menurut kata Imam al-Nawawi berdasarkan mazhab syafi’i, bersih dan hilangnya najis merupakan syarat sah solat. Jika seseorang itu terlupa ataupun jahil terhadap najis yang ada pada tubuh badan, baju dan tempat solatnya maka tidak sah solatnya. Menghilangkan najis adalah syarat sah bagi kesemua ibadah berikut; solat fardhu, solat sunat, solat jenazah mahupun sujud tilawah.
Syarat sah solat yang lain adalah menutup aurat dengan sempurna. Tidak sah solat ataupun terbatal solatnya jika seseorang itu tidak menutup auratnya ketika bersolat menurut kata Imam Al-Nawawi. Ini bermaknanya apa sahaja pakaian yang masih bersih dan suci dari najis serta menutup aurat boleh dibawa solat.
Tetapi seeloknya dinasihatkan untuk berganti dengan pakaian yang lebih elok dan sesuai apabila ingin mengerjakan solat. Menurut kata Al-Hafiz Ibnu Kathir berdasarkan Surah Al-‘Araf, ayat 31, terdapat isi bahawa ia merupakan sunnah untuk memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat. Digalakkan juga untuk memakai wangi-wangian dan bersiwak yang membawa maksud berhias dalam ayat tersebut. Terutamanya pada hari Jumaat dan juga hari raya.
Justeru, tiada masalah untuk memakai pakaian tidur ketika bersolat jika masih bersih dan suci daripada najis tetapi sebaiknya ganti dengan pakaian yang lebih elok. Ini kerana ia merupakan satu persediaan untuk menghadap Allah Yang Maha Esa.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.