Sudah tentu setiap hari kita akan berdoa kepada Allah untuk memberikan rezeki yang melimpah ruah dan rezeki yang tak dijangkakan. Bahkan ramai daripada kita sering kali diuji dengan ujian kesempitan rezeki, wang yang tidak mencukupi apabila tibanya hujung bulan.
Namun, dalam kita tidak sedar sebenarnya Islam telah mengajarkan kita beberapa cara yang mudah untuk diamalkan bagi menjemput rezeki. Jadi, antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah;
1. Bersedekah
Kadang kala kita akan takut nak bersedekah sebab bimbang jika pemberian itu boleh menyempitkan lagi rezeki. Namun, dalam kita tak sedar, semakin kita memberi semakin banyak yang Allah akan gantikan kepada kita.
Mafhum: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah As-Saba’, 34:39)
2. Istighfar
Kadang kita lupa, mungkin dosa-dosa yang kita lakukan boleh menjadi salah satu sebab mengapa rezeki itu terhalang daripada datang kepada kita. Disebabkan itu, kita dituntut untuk sentiasa bertaubat, sama ada dengan melakukan solat sunat taubat atau beristighfar, boleh sahaja.
Yang paling mudah untuk dilakukan adalah dengan memperbanyakkan istighfar kerana ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Jadi, sentiasalah mengingati Allah dengan istighfar-istighfar dan zikir yang diajar.
Mafhum: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.” (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.” (Surah Nuh, 71:10-11)
3. Berusaha
Zaman sekarang yang dipenuhi dengan kemudahan teknologi dan perkara-perkara baru, pastinya mewujudkan pelbagai peluang untuk mencari rezeki. Jadi, ia tidak menjadi alasan kepada kita untuk bermalas-malasan dalam mencari rezeki. Walaupun ia datang lambat, tetapi sekurang-kurangnya kita telah meletakkan usaha. Itu adalah lebih baik berbanding dengan orang yang hanya menunggu rezeki jatuh dari langit.
4. Faham konsep rezeki
Sebenarnya konsep rezeki itu luas. Ia bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit atau harta yang melimpah ruah, namun semua yang berada di sekeliling kita juga adalah rezeki. Diberi kesihatan yang baik, mempunyai kudrat untuk bekerja, mendapat doa dari ibu bapa dan banyak lagi merupakan rezeki.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.