Dalam jutaan galaksi yang ditemukan melalui kajian para saintis, kita ditakdirkan untuk menjalani kehidupan di dalam galaksi yang bernama bima sakti. Di dalam bima sakti pula, ada bumi yang kita panggil rumah.
Bumi terletak dalam sistem suria. Dalam sistem suria pula, terdapat tujuh lagi planet lain selain bumi. Pernahkah anda terfikir, mengapa kita ditentukan untuk hidup di bumi dan bukan di planet yang lain?
Berpeluang menghirup udara yang bersih dan segar
Merujuk kepada NASA, bumi selamat untuk didiami oleh hidupan seperti manusia, haiwan dan tumbuhan kerana bumi mempunyai udara yang selamat dan membekalkan oksigen kepada manusia.
Seperti yang kita tahu, manusia memerlukan kandungan oksigen yang mencukupi untuk memastikan kita dapat terus bernafas dan hidup. Jika dibandingkan dengan planet Marikh, udaranya penuh dengan debu-debu yang akan menyukarkan manusia untuk bernafas.

Tanah yang pejal untuk berdiri
Bumi mempunyai tanah yang dihiasi dengan rumput hijau, gunung-ganang dan kutub sejuk yang mempunyai glasier berais. Dengan bantuan graviti, kita dapat berjalan, berlari dan duduk di atas bumi tanpa terawang-awangan di udara.
Ia berbeza jika kita hidup di Musytari atau lebih dikenali sebagai Jupiter yang hampir keseluruhannya terdiri daripada gas seperti hidrogen, helium dan beberapa gas yang lain. Musytari tidak mempunyai permukaan yang kukuh untuk manusia berdiri. Jika manusia cuba berdiri di atas planet gas yang gergasi ini, anda akan tenggelam dan dihancurkan dek tekanan yang terlalu kuat.
Suhu yang sesuai untuk hidupan
Bumi mempunyai suhu yang paling ideal kerana ia tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh daripada matahari. Kedudukan bumi dalam sistem suria menyebabkan kita tidak menerima haba yang terlebih atau terkurang.
Suhu permukaan purata bumi ialah 17°C yang lebih sesuai dengan kehidupan berbanding suhu kira-kira 500°C di planet berdekatan bumi yang lain. Planet yang lebih jauh daripada matahari pula mempunyai suhu kira-kira 150°C hingga 200°C di bawah takat beku.
Graviti yang tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah
Pernahkah anda tertanya-tanya apa akan jadi sekiranya bumi mempunyai graviti yang jauh lebih tinggi?
Sekiranya bumi mempunyai graviti yang terlalu tinggi, ia akan menyebabkan darah yang mengalir di dalam badan manusia ditarik ke bawah dan tidak dapat mengalir ke seluruh anggota badan. Selain itu, tulang-tulang manusia juga akan patah kerana tidak dapat menahan tekanan graviti yang tinggi.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.