Memberi dan mengirim salam sudah menjadi satu budaya dan kebiasaan dalam kalangan kita Muslim.
Ia bukan hanya budaya kita, namun ia merupakan salah satu cara Islam yang diamalkan bagi menggantikan diri kepada orang lain apabila tidak dapat bersua.

Baginda SAW pernah menerima kiriman salam dari seorang sahabat melalui anak lelaki sahabat tersebut;
Maksud: “Aku pun datang menemui Baginda. Aku sampaikan: “Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepadamu.” Lalu, Baginda SAW menjawab: “Untukmu dan untuk bapamu balasan salam.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2936)
Bagi orang yang sudah diamanahkan untuk menyampaikan salam tersebut dan sanggup (mampu) melakukannya, maka wajib ke atasnya untuk menyampaikan kepada orang yang dikirim. Disunatkan juga ke atas orang yang dikirimkan salam untuk membalas kiriman tersebut kepada si penyampainya dengan ucapan;
وَعَلَيْكَ وَعَلَيْهِ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Maksud: “Ke atas kamu (utusan yang membawa salam) dan ke atas dia (yang menyampaikan salam) keselamatan, rahmat dan keberkatan dari Allah jua.”
Tuntasnya, dapat kita faham di sini bahawa menjawab salam itu adalah wajib sama ada ia dalam bentuk lisan, tulisan mahupun melalui kiriman orang. Dan sunat juga ke atas kita untuk menjawab salam bersama dengan ucapan kepada si pemberi salam.
Sumber: Mufti Wilayah
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.