Foto: Kosmo
Seorang pelajar istimewa yang menghidap autisme membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk berjaya apabila memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Alam Haikal Jansari Anuar, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, berkata kejayaan yang diraih adalah hasil daripada komitmen berterusan dalam pembelajaran serta amal ibadah, termasuk amalan solat tahajud dan pembacaan al-Quran yang dilakukannya secara konsisten setiap hari.
Menurut Alam Haikal, disiplin dan fokus tinggi menjadi kunci utama dalam proses ulang kaji pelajaran, yang dilakukannya selama enam jam sehari dalam dua sesi iaitu dari pukul 3 pagi hingga 6 pagi, dan disambung pada sebelah petang dari pukul 4 hingga 7 malam.
“Saya memberi sepenuh perhatian dalam kelas dan juga ketika belajar sendiri di rumah. Saya tidak pernah menganggap kekurangan diri sebagai satu kelemahan, sebaliknya menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan seperti pelajar lain,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya, guru-guru serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan moral sepanjang tempoh pengajian.
Alam Haikal turut menyatakan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan berazam menjadi seorang guru pada masa hadapan. Impiannya adalah untuk mengubah nasib keluarga serta membalas segala pengorbanan ibu bapanya.
Sementara itu, ibunya, Norlaila Ismail, 54, meluahkan rasa syukur atas pencapaian anaknya yang menjadi anak pertama dalam keluarga bakal menjejakkan kaki ke menara gading.
“Sebagai ibu, saya sentiasa berdoa agar Allah permudahkan urusan anak-anak. Saya membesarkan tiga anak orang kurang upaya termasuk Alam Haikal, dan hari ini saya sangat bangga dengan kejayaan yang dicapai olehnya,” ujarnya penuh sebak.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.