Foto sekadar hiasan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 serta membuat permohonan ke Program Matrikulasi, akan ditawarkan tempat secara automatik, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang sosioekonomi.
Perkara ini dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada hari ini, sebagai salah satu langkah strategik kerajaan dalam memastikan kecemerlangan akademik dihargai dan diberikan peluang setimpal.
Menurut kenyataan rasmi KPM, ketetapan ini merangkumi pelajar yang mendapat 10A walaupun terdapat beberapa subjek yang memperoleh gred A-, sekali gus menunjukkan keanjalan dasar ini dalam mengiktiraf pelbagai bentuk kecemerlangan.
“Keputusan ini adalah selaras dengan dasar yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang menekankan keadilan dalam akses pendidikan tinggi.
“Ia bertujuan memastikan setiap pelajar cemerlang tidak terpinggir daripada peluang melanjutkan pelajaran hanya kerana kekangan sistem,” kata KPM.
Dalam masa yang sama, KPM memberi jaminan bahawa sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi akan dikekalkan dan tidak akan terjejas oleh pelaksanaan dasar baharu ini.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan seimbang kerajaan dalam memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dari pelbagai latar belakang, tanpa mengabaikan dasar afirmatif yang sedia ada.
“Ia mencerminkan prinsip keterangkuman dan keadilan sosial yang menjadi teras kepada pihak kerajaan,” menurut kenyataan itu lagi.
KPM menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada pelajar berprestasi tinggi untuk meneruskan pengajian, tetapi juga untuk membina barisan modal insan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Dengan pelaksanaan dasar ini, KPM berharap agar lebih ramai pelajar dapat terus terinspirasi untuk mencapai kecemerlangan akademik, sekali gus menyokong agenda nasional dalam memperkukuh sistem pendidikan yang inklusif dan progresif.
Sumber: Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.