Foto: AFP
Pihak berkuasa di wilayah Sidenreng Rappang mengambil pendekatan tegas dalam usaha membanteras gejala sosial dan ketidaktertiban dalam kalangan pelajar apabila memutuskan untuk menghantar pelajar yang didapati berkeliaran pada waktu malam ke sekolah pondok sebagai bentuk tindakan disiplin.
Langkah ini diumumkan oleh Penjabat Bupati (Ketua Wilayah) Sidenreng Rappang, Syaharuddin Alrif, yang menyatakan bahawa pelajar yang ditangkap berada di luar rumah pada waktu malam tanpa sebab yang munasabah akan dibawa terus ke sekolah pondok bermula keesokan harinya.
Menurut beliau, tindakan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pihak berkuasa dalam mendidik pelajar agar memanfaatkan masa malam dengan aktiviti yang bermanfaat, terutamanya mengulangkaji pelajaran di rumah bersama keluarga. Selain itu, ia juga bertujuan membendung penglibatan remaja dalam aktiviti tidak sihat yang sering berlaku pada waktu malam.
“Biar anak-anak kita belajar di rumah dan tidak berkeliaran pada waktu malam kerana masa depan mereka masih panjang,” katanya kepada media tempatan.
Tambah beliau lagi, langkah ini turut diambil bagi memastikan pelajar tidak terdedah kepada pengaruh negatif seperti jenayah jalanan, penyalahgunaan dadah, mahupun pergaulan bebas yang boleh merosakkan masa depan mereka.
Sebagai pelengkap kepada usaha pendidikan dan pembangunan akhlak, Syaharuddin turut mengarahkan supaya pelajar-pelajar hadir ke masjid pada malam Khamis atau malam Jumaat bagi mengikuti program kerohanian.
Usaha ini diharap dapat membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki kekuatan rohani dan nilai moral yang tinggi.
Tindakan ini menerima pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat setempat. Ramai ibu bapa menyambut baik langkah tegas itu dan menyifatkannya sebagai pendekatan yang perlu dalam memastikan generasi muda kekal berdisiplin dan tidak terjerumus dalam gejala sosial yang semakin membimbangkan.
Langkah proaktif kerajaan daerah Sidenreng Rappang ini diharap mampu menjadi contoh kepada wilayah lain dalam memperkukuh sistem pendidikan moral serta mencegah masalah sosial dalam kalangan pelajar melalui pendekatan berasaskan nilai agama dan kekeluargaan.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.