Foto: Agensi
Dunia sains dikejutkan dengan penemuan seekor jerung gergasi berwarna kuning keemasan di perairan Costa Rica, yang dipercayai merupakan tangkapan pertama seumpamanya pernah direkodkan. Penemuan unik itu sekali gus menambah khazanah pengetahuan tentang keunikan biodiversiti marin.
Jerung tersebut, yang dianggarkan sepanjang dua meter, dikenal pasti sebagai spesies nurse shark. Apa yang menjadikannya luar biasa ialah ciri pigmentasi yang jarang berlaku, dikenali sebagai xanthisme. Keadaan genetik itu menyebabkan kulit, sisik atau bulu haiwan berwarna kuning atau keemasan, berbeza daripada warna asal spesies berkenaan.
Menariknya, jerung berkenaan bukan sahaja menunjukkan tanda xanthisme, malah turut memperlihatkan simptom albino kerana matanya berwarna putih terang. Gabungan dua keadaan jarang berlaku ini menjadikannya penemuan yang amat berharga kepada dunia penyelidikan marin.
Secara umumnya, nurse shark memiliki kulit berwarna coklat muda hingga coklat gelap yang berfungsi sebagai penyamaran semula jadi ketika memburu di kawasan terumbu karang dan dasar laut berbatu. Oleh itu, kemunculan jerung berwarna kuning menimbulkan tanda tanya tentang bagaimana variasi genetik ini boleh berlaku tanpa menjejaskan kelangsungan hidupnya.
“Penemuan seekor nurse shark berwarna kuning menimbulkan persoalan penting tentang faktor genetik serta tahap keupayaan penyesuaian spesies ini dalam habitat semula jadi,” jelas satu kajian mengenai penemuan tersebut.
Berdasarkan saiz dan keadaan fizikal jerung itu, penyelidik dari Universiti Persekutuan Rio Grande percaya bahawa pigmentasi luar biasa tersebut tidak memberi kesan buruk kepada kehidupannya di laut.
Untuk rekod, xanthisme dianggap antara keadaan paling jarang berlaku dalam dunia haiwan. Walaupun ia pernah direkodkan pada beberapa spesies ikan, reptilia dan burung, kes yang disahkan masih sangat terhad dan jarang ditemui.
Sumber: Agensi
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.