Foto sekadar hiasan
Firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدۡرٖ وَأَنتُمۡ أَذِلَّةٞۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ﴾
“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kalian mencapai kemenangan dalam Peperangan Badar, sedang kalian berkeadaan lemah. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah supaya kalian bersyukur.”
(Surah Ali ‘Imran: 123)
Peristiwa Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah dan menjadi antara detik penting dalam sejarah Islam. Walaupun pada awalnya umat Islam tidak merancang untuk berperang, pertemuan dengan tentera Quraisy akhirnya membawa kepada pertempuran yang memberi kesan besar kepada perkembangan Islam.
Penindasan Terhadap Umat Islam
Sebelum peristiwa ini, umat Islam di Makkah telah lama berdepan penindasan daripada golongan Quraisy. Selama 13 tahun, Rasulullah SAW berdakwah secara aman dengan menyeru manusia kepada tauhid dan akhlak yang baik.
Namun dakwah itu ditentang kerana golongan Quraisy bimbang kedudukan mereka akan terjejas. Walaupun mereka mengenali Rasulullah SAW sebagai seorang yang amanah dan jujur, ajaran Baginda tetap ditolak.
Keadaan itu akhirnya memaksa Rasulullah SAW bersama para sahabat berhijrah ke Madinah bagi membina masyarakat yang lebih adil.

Foto sekadar hiasan
Keizinan untuk Mempertahankan Diri
Selepas hijrah, ancaman daripada musuh masih berterusan sehingga Allah SWT mengizinkan umat Islam mempertahankan diri.
Firman Allah SWT:
﴿أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ﴾
“Diizinkan berperang bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk menolong mereka.”
(Surah al-Hajj: 39)
Walaupun peperangan dibenarkan, Islam tetap menegaskan agar umatnya tidak melampaui batas dan mengutamakan perdamaian jika pihak musuh bersedia berdamai.
Pertempuran yang Tidak Dirancang
Peperangan Badar pada asalnya bukan dirancang sebagai pertempuran besar. Umat Islam hanya berniat menyekat rombongan dagang Quraisy yang pulang dari Syam.
Namun mereka akhirnya bertembung dengan pasukan Quraisy yang jauh lebih besar dan lengkap bersenjata.
Tentera Quraisy dianggarkan sekitar 1,000 orang, manakala pasukan Islam hanya seramai 313 orang dengan kelengkapan yang sangat terhad.
Firman Allah SWT:
﴿وَإِذۡ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحۡدَى ٱلطَّآئِفَتَيۡنِ أَنَّهَا لَكُمۡ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيۡرَ ذَاتِ ٱلشَّوۡكَةِ تَكُونُ لَكُمۡ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلۡحَقَّ بِكَلِمَٰتِهِۦ وَيَقۡطَعَ دَابِرَ ٱلۡكَٰفِرِينَ﴾
“Dan ingatlah ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu daripada dua golongan bahawa ia akan menjadi milik kamu, sedangkan kamu menginginkan yang tidak mempunyai kekuatan. Tetapi Allah hendak menegakkan kebenaran dengan kalimah-Nya dan memusnahkan golongan kafir.”
(Surah al-Anfal: 7–8)

Foto sekadar hiasan
Strategi dan Doa Rasulullah
Walaupun jumlah tentera kecil, Rasulullah SAW tetap bermesyuarat dengan para sahabat bagi menentukan strategi terbaik. Antara cadangan yang diterima ialah menguasai sumber air bagi menyekat pergerakan musuh.
Pada masa yang sama, Baginda memohon pertolongan Allah SWT agar pasukan Islam yang kecil itu diberikan kemenangan.
Kemenangan yang Mengubah Sejarah
Dengan izin Allah SWT, umat Islam akhirnya memperoleh kemenangan dalam peperangan Badar. Kejayaan ini meningkatkan keyakinan umat Islam dan mengukuhkan kedudukan mereka di Madinah.
Tawanan perang pula dilayan dengan baik dan sebahagiannya dibebaskan dengan syarat yang ringan. Sikap adil ini menyebabkan ramai dalam kalangan mereka akhirnya memeluk Islam.
Pengajaran Daripada Peristiwa Badar
Peristiwa Badar membuktikan bahawa kemenangan tidak semata-mata bergantung kepada jumlah atau kekuatan senjata, sebaliknya kepada keimanan, kesatuan dan pertolongan Allah.
Ia juga menegaskan bahawa peperangan dalam Islam hanya dibenarkan untuk menentang kezaliman serta mempertahankan keadilan, bukan kerana sikap fanatik atau kepentingan tertentu.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.