Kisah sedih lapan beranak menghadapi ujian berat apabila terpaksa tinggal di khemah selama sebulan selepas terpaksa keluar dari rumah sewa.
Roszita Abdul Razak yang menyewa di Lunas, Kedah sebelum ini telah menyara keluarganya dengan bekerja di sebuah kedai emas di Kulim, Kedah.
Namun, dia telah kehilangan kerja sebulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah.
Lantas, ibu tunggal ini terpaksa pulang ke kampung ibunya di Pengkalan Batu, Tasek Gelugor bersama empat anak berusia antara 12 dan 22 tahun, dua cucu berusia setahun dan dua tahun serta seorang anak saudara berusia 17 tahun.
Namun, Roszita tidak mahu menyusahkan ibunya yang perlu menjaga adiknya berusia 30 tahun dan abangnya berusia 50 tahun yang mempunyai masalah kesihatan, lalu dia membina khemah dan tinggal di situ akibat jumlah ahli keluarga yang ramai.
“Sebelum ini kami tinggal di Lunas (Kedah), saya bekerja di Kulim Central. Bila 'lockdown' dilaksanakan, tempat kerja saya ditutup jadi saya tidak boleh bayar sewa rumah.
“Saya terpaksa pindah balik duduk dekat rumah mak. Dah ramai sangat kat rumah mak kami terpaksa buat pondok duduk dalam khemah,” katanya.
Susulan itu, Roszita mendapat perhatian penduduk setempat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman yang membantunya mencari rumah sewa.
Lapan beranak teruja apabila ditempatkan di rumah transit di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Alhamdullillah ada yang membantu kami. Buat masa ini mereka tolong bayarkan sewa, nanti bila saya kembali stabil nanti, saya bayarlah sendiri,” ujarnya.
Roszita sangat bersyukur dan berharap untuk memperoleh pekerjaan dalam masa terdekat bagi menyara keluarga selepas mendiami rumah transit itu.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.