Foto: Google Image
Ramai orang bila dengar perkataan kasturi akan terus terbayang bau limau kasturi yang masam dan menyegarkan. Tapi sebenarnya, haruman kasturi yang sering disebut dalam hadis sebagai salah satu bau syurga langsung tiada kaitan dengan buah limau.
Dalam banyak riwayat, haruman disebut sebagai antara nikmat syurga yang Allah SWT perlihatkan sedikit kepada manusia di dunia.
Imam Ibnu Qayyim rahimahullah menulis bahawa Allah menunjukkan kepada hamba-Nya beberapa kesan daripada syurga seperti bau-bauan yang harum, pemandangan indah, buah-buahan yang baik serta rasa kesenangan yang menyenangkan jiwa.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa bangunan syurga terbina daripada bata emas dan perak, lantainya daripada kasturi yang harum, tanahnya daripada za'faran manakala batu-batunya adalah mutiara dan yakut.
Dalam riwayat Muslim pula disebut bahawa tanah syurga itu putih, licin dan berbau kasturi murni. Rasulullah juga bersabda bahawa haruman syurga boleh dihidu sejauh jarak perjalanan seratus tahun.
Persoalannya, bagaimana haruman kasturi ini sampai ke dunia. Berdasarkan beberapa sumber seperti kitab Iq Al-Alqaa dan Jaami' Karaamat Al-Auliyaa, dikisahkan bahawa ketika Nabi Adam AS mula diturunkan ke bumi, seekor kijang betina datang menziarahinya.
Nabi Adam AS memberikan sehelai daun dari syurga kepada kijang tersebut. Dengan izin Allah, kijang itu mula mengeluarkan bau yang sangat harum seperti bau kasturi. Keturunannya hari ini menghasilkan haruman yang dikenali sebagai kasturi kijang.
Kasturi kijang bukan datang daripada sebarang tumbuhan. Ia terbentuk di dalam kelenjar bawah perut seekor kijang jantan. Bahagian itu dikenali sebagai bintil kasturi dan kasturi ini kemudiannya dikumpul dan diproses oleh manusia untuk dijadikan minyak wangi dan ubat-ubatan.
Disebabkan baunya yang unik serta kesukaran untuk mendapatkannya, kasturi kijang dianggap sebagai antara bahan semula jadi paling mahal di dunia. Ia digunakan dalam pembuatan minyak wangi eksklusif serta dijadikan bahan perubatan tradisional sejak berzaman. Harumannya bukan sekadar wangi biasa malah membawa simbol kemuliaan dan keistimewaan, apatah lagi ia dikaitkan secara langsung dengan bauan syurga.
Jadi kalau selama ini ada yang menyangka bau kasturi itu sama seperti bau limau kasturi, sebenarnya tidak. Haruman kasturi sebenar berasal daripada kijang dan ia adalah antara anugerah Allah kepada manusia di dunia sebagai gambaran kecil daripada nikmat besar yang menanti di syurga.
Sumber: TikTok
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.