
Foto: Bernama
Suasana di Dataran Merdeka sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 bertukar meriah apabila ribuan beruang teddy pelbagai saiz dan warna dikumpulkan untuk membentuk formasi peta Palestin. Program simbolik itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai yang teruja melihat usaha kreatif berkenaan sebagai tanda sokongan kepada anak-anak Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Kempen unik ini menyasarkan kutipan sebanyak 8,000 beruang teddy yang melambangkan lebih 18,000 kanak-kanak Palestin yang terkorban di Gaza sejak tercetusnya serangan berterusan rejim Israel.
Menurut Pengarah Malaysia Book of Records Cinta Gaza Malaysia (CGM), Ikmal Islam, pemilihan beruang teddy sebagai simbol bukan sekadar kerana sifatnya yang dekat dengan hati masyarakat, tetapi juga kerana ia menggambarkan kasih sayang dan dunia kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi.
“Sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan, namun kami masih memerlukan sekitar 4,000 lagi beruang teddy sehingga jam 6 petang ini bagi melengkapkan formasi peta Palestin. Jika berjaya, ia akan direkodkan dalam Malaysia Book of Records menerusi inisiatif anjuran CGM bersempena karnival ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa orang ramai boleh menyumbang dengan nilai serendah RM10 untuk sebuah beruang teddy. Semua patung beruang yang dikumpulkan akan disumbangkan kepada rumah anak yatim di Malaysia, manakala dana tunai daripada kutipan akan disalurkan terus kepada rakyat Gaza melalui CGM.
Kempen ini disifatkan sebagai inisiatif bersejarah kerana bukan sahaja memberi peluang masyarakat menyumbang dalam bentuk simbolik, malah menyampaikan mesej solidariti Nusantara terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Seorang pengunjung, Hamidah Din dari Kajang, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai wadah terbaik untuk rakyat Malaysia menzahirkan sokongan meskipun tidak berada di bumi Gaza.
“Saya rasa ini usaha yang sangat baik. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang kita boleh sumbangkan untuk mereka. Niat dan hasil sumbangan ini penting agar sampai kepada rakyat di Gaza. Saya benar-benar terkejut melihat jumlah beruang teddy yang begitu banyak,” katanya.
Sementara itu, seorang guru dari Pahang yang hanya mahu dikenali sebagai Ashikin berkata, beruang teddy dipilih sebagai simbol penuh makna kerana ia mencerminkan kasih sayang yang harus diberikan kepada kanak-kanak.
“Beruang teddy ini seolah-olah menyampaikan mesej bahawa anak-anak kita di sini turut merasai penderitaan rakan sebaya mereka di Palestin yang syahid akibat serangan berterusan,” katanya penuh sebak.
Tinjauan mendapati reruai yang dibuka sejak jam 10 pagi mendapat sambutan meriah bukan sahaja daripada rakyat tempatan, malah pelancong asing. Seorang pelancong dari Filipina, Renee Espayos, menyatakan keterujaannya kerana berpeluang menyumbang melalui program tersebut.
“Saya tertanya-tanya apabila melihat ramai pengunjung berkumpul dan selepas diberitahu mengenai peluang menderma untuk kanak-kanak Palestin melalui beruang teddy, saya rasa sangat gembira dapat turut serta,” katanya.
Pablo Gas, seorang pelancong dari Sepanyol, turut memuji inisiatif itu yang dianggap sebagai pendekatan kreatif untuk menarik lebih ramai orang menyumbang.
“Ini idea yang hebat kerana beruang teddy adalah sesuatu yang comel dan dekat di hati ramai orang. Saya berharap semua penderitaan di Palestin dapat berakhir secepat mungkin,” ujarnya.
Acara ini diadakan sebagai sebahagian daripada pengisian Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos. Malam kemuncaknya, iaitu Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza, dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dijadualkan hadir bagi menyampaikan syarahan perdana serta ucapan rasmi perasmian.
Kempen beruang teddy ini sekaligus menjadi simbol kasih sayang, solidariti, serta bukti bahawa rakyat Malaysia dan Nusantara tidak pernah melupakan penderitaan rakyat Palestin, khususnya anak-anak kecil yang paling terkesan akibat peperangan.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.