
Foto: Tangkap layar TikTok
Dalam insiden kebakaran saluran paip gas yang menggemparkan Putra Heights dua minggu lalu, seorang mangsa kebakaran, Ahmad Baharudin Hamid, 56, melahirkan rasa syukur apabila bilik solat di rumahnya kekal utuh tanpa sebarang kerosakan meskipun seluruh rumah musnah.
Menurut Ahmad, beliau hanya menyedari keadaan luar biasa itu selepas melakukan pemeriksaan menyeluruh dua hari selepas kejadian untuk menilai kerosakan pada kediaman keluarganya di Kampung Kuala Sungai Baru.
“Rumah saya rosak teruk, bumbung runtuh, pendawaian musnah, dan ruang tamu dipenuhi debu dengan semua perabot jadi abu. Tapi bila saya masuk ke bilik solat, saya terkejut sebab semuanya masih elok. Sejadah, telekung, al-Quran… semuanya dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi.
Kediaman yang didiami Ahmad bersama keluarganya sejak lima tahun lalu itu mempunyai enam bilik, termasuk sebuah bilik yang khusus dibina sebagai ruang solat, lengkap dengan tempat wuduk.

Foto: Tangkap layar TikTok
“Saya memang niatkan bilik itu untuk memudahkan solat, bukan saja untuk kami sekeluarga, tapi juga untuk tetamu. Tak sangka, itulah satu-satunya ruang yang tidak terusik,” tambahnya.
Buat masa ini, keluarga Ahmad menetap sementara di sebuah unit Airbnb di Subang. Mereka dijangka berpindah ke rumah sewa berdekatan dalam masa terdekat, yang kini dalam proses penyelenggaraan.
“Kami sewa rumah dekat supaya senang pantau keadaan rumah lama. Sewanya RM2,000 sebulan, dan kelengkapan semua dah tersedia, jadi itu sangat membantu kami,” ujarnya lagi.
Tular di media sosial hari ini, satu rakaman video yang dimuat naik oleh Exco Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi, menunjukkan keadaan bilik solat Ahmad yang masih sempurna walaupun ruang lain ranap dijilat api.
Mohd Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik menyifatkan insiden itu sebagai satu peringatan penuh hikmah untuk umat Islam.
“Bukan hanya bilik solat, ada juga kereta yang rosak teruk akibat kebakaran, tetapi ayat Kursi yang tergantung dalam kereta itu masih dalam keadaan baik. Ini tanda kebesaran Allah SWT, dan kita wajar ambil iktibar dari semua ini,” katanya.
Sumber: TikTok
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.