Detik cemas empat beranak terpaksa dihadapi apabila bumbung rumah tercabut ketika ribut melanda di Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang sehingga memusnahkan 81 rumah, pada Selasa.
Nurliza Abu Bakar berkongsi kisah kejadian bersama suami Noorzihan Yahya dan dua anak mereka Mohd Akmal Fariduddin dan Nur Aleesya Elvina sedang asyik menonton televisyen.
“Kejadian berlaku sekelip mata. Mulanya kami terdengar bunyi yang sangat kuat di bahagian atas rumah sebelum melihat bumbung bahagian hadapan rumah tercabut dan diterbangkan angin. Sebahagian bumbung tersebut terpelanting ke rumah jiran.
“Angin sangat kuat sehingga tingkap rumah pun pecah. Detik cemas itu berlaku tidak sampai lima minit pun tetapi cukup menakutkan dan kami hanya mampu berpelukan sesama sendiri,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menyangka akan berlakunya ribut kerana difahamkan hujan tidak berapa lebat ketika itu.
Tambahnya, mereka sekeluarga keluar melarikan diri dan melihat sendiri di depan mata bumbung beberapa buah rumah berterbangan dan pokok tumbang.
Ia merupakan kejadian kedua berlaku di perumahannya sejak bencana yang sama melanda pada 2010.
“Berbanding semalam, kejadian ribut pada 2010 tidak begitu teruk hanya dua atau tiga rumah sahaja terjejas. Semalam, saya berada di luar rumah dan nampak bumbung rumah jiran terhempas ke rumah saya, nasib baik tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Sumber: Awani / Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.