
Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Safiq Rahim akan meninggalkan kelab Harimau Selatan itu. Dengan kenyataan tersebut maka terjawablah sudah segala teka-teki akan kedudukan pemain itu dalam kelab tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh pemilik kelab tersebut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyifatkan Safiq Rahim sebagai seorang pemain yang paling berjaya dan telah banyak membantu JDT dalam mencapai matlamat mereka.
“Selamat maju jaya diucapkan kepada Safiq Rahim. Dari pandangan ikhlas saya, beliau adalah pemain yang paling berjaya sekali dalam JDT dan sudah banyak membantu JDT untuk mencapai matlamat-matlamat kami.
“Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik yang bukan saja sudah memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga kepada kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya.
Safiq mula menyertai JDT pada 2013 dan telah membantu pasukan itu meraih beberapa kejayaan utama. Antaranya menjuarai Liga Super 5 kali berturut-turut semenjak tahun 2014, Piala Malaysia pada tahun 2017, Piala FA 2016 dan Piala AFC 2015.
Walaubagaimanapun, Tunku Ismail turut berkata kelab itu sentiasa membuka pintu untuk pemain itu sekiranya dia mahu kembali beraksi bersama mereka.
“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak akan tahu sama ada Safiq akan kembali semula atau tidak suatu hari nanti. Saya pun tidak tahu.
“Pintu di Johor sentiasa terbuka untuk beliau dan walau apa pun, setinggi-tinggi ucapan terima kasih dari saya, JDT dan semua penyokong serta Keluarga JDT. Macam mana sekalipun, anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari Keluarga JDT,” kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu.
Susulan berita ini, para peminat bola sepak masih berteka-teki akan ke mana Safiq akan pergi. Walaupun khabar angin mengatakan dia akan berpindah ke PKNS FC namun terdapat juga khabar angin yang mengatakan dia akan bermain untuk pasukan luar negara.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.