Foto sekadar hiasan
Solat lima waktu merupakan kewajipan utama bagi setiap umat Islam. Setiap bacaan dan pergerakan dalam solat pula datang daripada ajaran Rasulullah SAW, bukan dicipta oleh manusia.
Selain memberi manfaat kepada rohani, pergerakan dalam solat juga sering dikaitkan dengan kebaikan dari sudut kesihatan. Namun begitu, di sebalik bacaan yang dilafazkan ketika solat, sebenarnya terdapat hikmah dan sejarah yang tersendiri.
Sebagai contoh, bacaan ketika rukuk dan sujud bertujuan memuji serta membesarkan Allah SWT. Namun ada juga persoalan yang sering bermain di fikiran sesetengah orang, iaitu mengapa selawat dalam tahiyyat akhir menyebut secara khusus Nabi Ibrahim AS dan ahli keluarga baginda.
Menurut penjelasan mufti, umat Islam diwajibkan beriman kepada semua nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Perkara ini merupakan salah satu daripada Rukun Iman sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT:
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّـهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ
Maksudnya: Rasulullah SAW beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan begitu juga orang-orang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya serta rasul-rasul-Nya dan mereka tidak membezakan antara seorang pun daripada rasul-rasul-Nya.
- (Surah al-Baqarah: 285)

Foto sekadar hiasan
Selain itu, Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang rukun iman ketika ditanya oleh malaikat Jibril AS:
أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ، وَمَلَائِكَتِهِ، وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ، وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
Maksudnya: Iman ialah beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat serta beriman kepada qada’ dan qadar sama ada baik atau buruk.
- (Hadith riwayat Muslim)
Dalam al-Quran juga disebut nama 25 orang nabi dan rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam. Antaranya Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.
Daripada 25 nabi tersebut, lima daripadanya dikenali sebagai rasul ulul azmi kerana ketabahan dan kedudukan istimewa mereka. Mereka ialah Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW.
Walaupun umat Islam tidak boleh membezakan para rasul dari sudut keimanan, Allah SWT menjelaskan bahawa ada nabi yang diberikan kelebihan tertentu berbanding yang lain.
Firman Allah SWT:
تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ
Maksudnya: Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain.
- (Surah al-Baqarah: 253)

Foto sekadar hiasan
Berkaitan selawat dalam tahiyyat akhir, para ulama menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim AS disebut secara khusus kerana kedudukan baginda yang sangat mulia di sisi Allah SWT.
Antara keistimewaan baginda ialah Allah SWT menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai kekasih-Nya atau Khalilullah.
Firman Allah SWT:
وَاتَّخَذَ اللَّـهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا
Maksudnya: Allah menjadikan Nabi Ibrahim sebagai kekasih-Nya.
- (Surah al-Nisa’: 125)
Selain itu, Nabi Ibrahim AS juga dikenali sebagai bapa kepada ramai nabi dan rasul selepasnya. Daripada keturunan baginda lahir ramai nabi seperti Nabi Ismail, Nabi Ishaq, Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa.
Malah Rasulullah SAW sendiri berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim AS, menjadikan hubungan baginda sangat dekat dalam sejarah kenabian.
Foto sekadar hiasan
Dalam beberapa kitab ulama juga disebut bahawa Nabi Ibrahim AS pernah menyampaikan salam kepada umat Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj.
يَا مُحَمَّدُ أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلَام
Maksudnya: Wahai Muhammad, sampaikanlah salamku kepada umatmu.
-(Hadith riwayat al-Tirmidzi)
Selain itu, Nabi Ibrahim AS juga disebut sebagai nabi yang menamakan umat Nabi Muhammad SAW sebagai ‘muslimin’.
Firman Allah SWT:
هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ
Maksudnya: Dialah yang menamakan kamu sebagai orang-orang Islam sejak dahulu.
- (Surah al-Hajj: 78)
Kesimpulannya, penyebutan Nabi Ibrahim AS dan ahli keluarga baginda dalam selawat tahiyyat akhir bukanlah tanpa sebab. Ia berkait dengan kedudukan baginda sebagai kekasih Allah, bapa kepada ramai nabi serta hubungan keturunan dengan Rasulullah SAW.
Semoga penjelasan ini membantu umat Islam memahami hikmah di sebalik bacaan dalam solat dan seterusnya meningkatkan penghayatan ketika beribadah.
WaAllahu a’lam.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan