Selepas beberapa bulan ditutup akibat COVID-19, akhirnya semua masjid dan surau di Selangor dibuka untuk solat Jumaat dan solat fardhu bermula hari Jumaat ini.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan mengenai perkara itu setelah mendapat taklimat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan data terkini wabak COVID-19 di negeri ini.
Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, bagaimanapun bilangan jemaah yang boleh menunaikan solat pada satu-satu masa di masjid serta surau di Selangor masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Dalam kenyataan hari ini, dinyatakan bahawa Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, menetapkan jumlah jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardhu adalah 1,000 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.
"Manakala jumlah jemaah bagi semua masjid lain untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan maksimum 500 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang mana ia tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan," tambahnya.
Namun, bagi Surau Kebenaran Solat Jumaat pula, jumlah jemaah yang ditetapkan bagi solat Jumaat dan solat fardhu adalah 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau itu.
Mengenai ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pula, beliau berkata, Sultan Sharafuddin bertitah supaya ia dilakukan di masjid sahaja dan mana-mana surau yang telah merancang untuk melakukan ibadah itu boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.
Baginda turut menitahkan agar semua jemaah mematuhi SOP yang telah ditetapkan, terutama sekali mengambil wudukh di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai penutup muka ketika berada di masjid atau surau dan mengamalkan penjarakan sosial.
Dan pada mereka yang tidak sihat, mereka dilarang untuk solat di masjid dan surau.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.