
KUALA LUMPUR – 2 April – Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) ingin memaklumkan bahawa melalui hebahan rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak China Manned Space Agency (CMSA), stesen angkasa Tiangong-1 telah jatuh ke bumi pada 2 April 2018 00:15 UTC (waktu Malaysia=08:15 MST) di Selatan Lautan Pasifik.
Dilaporkan keseluruhan komponen dan struktur binaannya telah hancur dan hangus tebakar ketika ‘re-entry’ dan tiada sebarang serpihan yang tinggal jatuh ke permukaan bumi. Tiada sebarang kerosakan dan kecederaan dilaporkan setakat ini.
Menurut Dr. Noordin bin Ahmad, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), ramalan ‘re-entry’ yang telah dikeluarkan sebelum ini (30 Mac 2018 00:00 UTC sehingga 2 April 2018 00:00 UTC) telah berlanjutan kerana melalui analisa semasa, didapati bahawa kadar penurunan altitud Tiangong-1 adalah rendah berbanding yang telah diramalkan sebelum ini. Hal ini adalah kesan daripada aktiviti matahari yang lemah dan memberi kesan kepada cuaca angkasa dalam mempengaruhi daya geseran pada Tiangong-1 ketika ‘re-entry’ tersebut.
ANGKASA akan sentiasa mengambil langkah persediaan awal dan berterusan dalam memberikan maklumat untuk kesedaran dan pengetahuan umum kepada masyarakat berkaitan langkah-langkah yang perlu diambil dalam menghadapi kejadian seumpamanya di masa-masa akan datang.
ANGKASA ingin mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telibat dalam membuat persediaan dan kesiapsiagaan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung di sepanjang tempoh ramalan ‘re-entry’ tersebut bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya stesen tersebut jatuh di Malaysia.
Sekian , terima kasih.
“SAINS DAN INOVASI PEMACU TRANSFORMASI”
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.