Foto: Kosmo
Sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di Sicily, Itali sedang melakukan persiapan akhir sebelum berlayar ke Sirakusa dan seterusnya menuju ke Gaza, Palestin.
Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ujar, berkata peserta dari Malaysia telah mula ditempatkan di bot masing-masing serta berkenalan dengan kapten dan kru.
Menurutnya, semua bot kini melalui proses pemeriksaan terakhir bagi memastikan kelancaran pelayaran.
“Insya-Allah, beberapa jam lagi bot akan dilancarkan. Doakan agar pelepasan ini berjalan lancar. Pada jam 2 petang (waktu Itali) akan berlangsung sesi ‘flag off’ di Sirakusa.
“Kami mewakili MCM dan GSF berterima kasih atas doa serta sokongan semua pihak. Semoga hasrat untuk menembusi sekatan Israel tercapai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Khamis.
Sebelum ini, kapal Fair Lady, salah satu yang terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut, dijadualkan berangkat dari pelabuhan Catania selepas tiga kali ditangguhkan.
Pengarah Media MCM, Tuan Asri Tuan Hussein berkata, kapal itu dijangka meninggalkan pelabuhan sebaik senarai penumpang dimuktamadkan oleh penganjur.
Setakat ini, kira-kira 14 sukarelawan Malaysia bersama lebih 100 peserta antarabangsa sedang menunggu arahan untuk memulakan pelayaran ke Gaza.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.