
Foto: Instagram
Surau MADANI yang terletak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan kini diiktiraf sebagai surau pertama di lebuh raya negara yang diberi kelulusan rasmi untuk menunaikan solat Jumaat.
Pengisytiharan ini diumumkan oleh Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu majlis khas pada 2 Julai 2025.
Dr Faudzinaim berkongsi bahawa keputusan tersebut dibuat selepas merisik para pekerja di R&R yang sukar menunaikan solat Jumaat disebabkan jarak yang jauh dan kekangan masa.
“Sebelum beri kebenaran ini, saya secara peribadi bertanya kepada pekerja di sini, sebahagian mereka tidak pergi solat Jumaat kerana tidak sempat, sebab jauh untuk pergi dan balik,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi pula menjelaskan inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja di R&R, malah penduduk tempatan serta pengguna lebuh raya yang melalui arah selatan, seperti Labu dan Seremban.
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat sekitar 90 pekerja lelaki beragama Islam di R&R tersebut, melebihi jumlah minimum jemaah (40 orang) yang diperlukan untuk solat Jumaat.
Surau tersebut telah dinaiktaraf dengan kemudahan asas termasuk mimbar, mihrab, sistem pembesar suara serta akses mesra pengguna seperti kemudahan untuk warga emas dan orang kurang upaya. Ia mampu menampung sehingga 150 jemaah dalam satu-satu masa.
Kelulusan rasmi solat Jumaat dibenarkan bermula pada 4 Julai 2025 bersamaan 8 Muharram 1447H, dan ia bersifat sementara sehingga terdapat pembatalan rasmi. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri, JHEAINS, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta PLUS.
Ijazah ini diharapkan dapat mendekatkan masyarakat Islam dengan ibadah walaupun mereka berada dalam perjalanan, serta mengukuhkan status R&R sebagai kemudahan bukan hanya rehat tetapi mesra ibadah.
Inisiatif Surau MADANI R&R Seremban ini merupakan langkah awal dalam usaha menyediakan kemudahan solat Jumaat di lebuh raya utama dan diharapkan dapat diperluas ke R&R lain pada masa akan datang.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.