Ulama terkenal di Indonesia, Syekh Ali Jaber meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Yarsi pada Khamis, lapor CNN Indonesia.
Ustaz Yusuf Mansyur mengesahkan berita duka kematian Syekh Ali Jaber atau nama sebenarnya Ali Saleh Mohammed Ali Jaber menerusi akaun Instagram.
"Innaa lillaahi Wa Innaa Ilaihi Raaji'uun. Syeikh Ali Jaber meninggal di Hospital Yarsi, jam 8.30 pagi. Tolong berdoa," kata Yusuf Mansur dalam hantaran itu.
Kenyataan dari Yayasan Syeikh Ali, turut memaklumkan berita kematian Syekh Ali dengan melaporkan keputusan Covid-19 adalah negatif.
Sebelum, Syekh Ali Jaber, 44, disahkan positif Covid-19 pada 29 Disember lalu sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) keesokan harinya di hospital sama.
Pada 4 Januari lalu, kesihatan Syekh Ali Jaber dilaporkan bertambah baik menerusi sebuah hantaran di akaun Instagram miliknya.
"Keadaannya semakin baik, pasukan perubatan mengatakan ada kemajuan, cukup baik dan terus menunjukkan peningkatan," kata hantaran itu.
Namun beberapa hari kemudian, tersebar di media sosial gambar menunjukkan Syekh Ali Jaber tidak sedarkan diri dan menggunakan alat bantuan pernafasan.
Beliau dilahirkan di Madinah pada 3 Februari 1976 dan mula aktif berdakwah di Indonesia pada usia 32 tahun dan beliau terus aktif menjadi guru al-Quran, imam, dan pendakwah di Masjid Besar Al-Muttaqin Cakranegara, Lombok.
Al-fatihah.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.